Malaysia Dateline

Bukan Covid-19 tapi PH punca ramai akan mati, dakwa Azmin Ali

Seolah-olah lupa pernah menganggotai Kabinet Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengutuk kerajaan terdahulu dengan mengaitkan penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu dalam ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, pagi tadi menganggap kerajaan PH yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai gagal.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu juga mendakwa ramai rakyat negara ini akan mati dijangkiti Covid-19 jika PH masih memerintah kerana Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan enggan mengeluarkan peruntukan.

“Kita telah bagi peluang kepada PH 22 bulan untuk perintah kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tetapi tuan puan pun tahu Pakatan Harapan sudah gagal.

They fail as government. Dia (PH) tidak mampu untuk membela rakyat. Kalau kita menghadapi Covid-19 dalam PH lebih banyak orang Malaysia mati bukan kerana Covid tapi kerana PH.

“Bila kita minta Guan Eng peruntukan, tiada wang. Semua tiada,” dakwanya ketika berucap di Kampung Hendra, Slim hari ini.

Sebaliknya, Azmin yang baharu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam bersama bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan lain-lain menyifatkan PN terlebih awal memberi peruntukan walaupun belum diminta.

“Tapi minta dengan PN, belum minta kita sudah beri,” sembang Azmin lagi.