Malaysia Dateline

Bukan Dewan Rakyat dan DUN sahaja tempat ahli politik berbalah!

Pandangan-hujah pakar Perlembagaan negara terhadap kewajaran pelaksanaan Darurat menggelikan hati kerana mereka berpendapat antara sebabnya ialah untuk mengelakkan ahli politik daripada bercakaran demi berebut kuasa.

Sudah dua minggu Yang di-Pertuan Agong (YdPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memperkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan.

Pemimpin Kerajaan PN mengatakannya sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala Covid-19. Antara ‘mangsa’ pelaksanaan Darurat itu ialah Dewan Rakyat, dan Dewan DUN.

Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz tidak menafikan bahawa Parlimen dan DUN boleh bersidang semasa Darurat.

Namun demikian, kata Shamrahayu, beliau selalu terfikir mesti ada sebab YdPA enggan ataupun mensyaratkan supaya Parlimen, dan DUN tidak bersidang.

Tambah Shamrahayu, beliau menganggap ini mungkin kerana semua ahli politik mengingkari titah Al Sultan Abdullah agar tidak berpolitik ketika negara masih berperang dengan virus Corona.

Meskipun bersetuju dengan kenyataan menyuruh atau mengarahkan orang politik tidak berpolitik itu seumpama meminta pemain bola sepak jangan menendang bola, tetapi Shamrahayu fikir dalam konteks ini politiking yang dimaksudkan ialah saling menjatuhkan sesama ahli politik.

Shamrahayu, pada satu wacana, 22 Januari lalu juga menganggap ahli politik menggunakan mekanisme di bawah tiket demokrasi, dan peruntukan Perlembagaan untuk saling bertelagah.

Baginya, tanggungjawab ahli Dewan Rakyat dan DUN tidak terhenti ketika Darurat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Parlimen, dan DUN tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh YdPA.

Ekoran itu, ramai ahli politik, lebih-lebih lagi dari PH, mempersoal penggantungan Parlimen dan DUN ketika cabang eksekutif dan kehakiman dalam kerajaan berjalan seperti biasa di sepanjang Darurat tersebut.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Amanah, Mohamed Hanipa Maidin sinis menyindir dengan mengatakan beliau baru mengetahui kalau mahu berjiwa rakyat, perlu mengkhianati mandat, dan tidak perlu menghormati suara rakyat!

Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang menambah beliau baru mengetahui jika mahu berjiwa rakyat perlu melaksanakan Darurat, dan kemudian tidak perlu mengadakan sidang Dewan Rakyat.

Kalau mahu berjiwa rakyat, kata Hanipa lagi, perlu membelanjakan RM35 juta untuk membina tiga dewan di kawasan Parlimen sendiri, tanpa menghiraukan kesengsaraan rakyat!

Shamrahayu yang juga pensyarah Kuliah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM, berpendapat Darurat bertujuan mengelakkan pergeseran ahli politik, dan berebut kuasa.

Walau bagaimanapun, dengan perpecahan yang berlaku dalam Umno, dan penentangan pembangkang-PH terhadap pelaksanaan Darurat, di mana benarnya pendapat Shamrahayu itu?

Yang nyata dan semakin panas-parah ialah pertelagahan ahli politik (walaupun memang diharapkan perpecahan dalam Umno turut berlaku)!

Pendapat Shamrahayu itu bukan sahaja kelakar, tetapi sempit. Masakan beliau tidak tahu ahli politik bertelagah bukan hanya di Dewan Rakyat atau Dewan DUN.

Selagi ada ruang dan peluang, pergeseran terus berlaku, apatah lagi sekarang dalam media sosial. Hanya pintu Parlimen dan Dewan DUN sahaja yang ditutup, tetapi mulut dan minda ahli politik sentiasa terbuka.

Kalau beginilah alasan dan hujah Shamrahayu, maka penggantungan Dewan Rakyat dan Dewan DUN tidak perlu ditarik semula sampai bila-bila.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta ahli Parlimen mengutuskan warkah kepada YdPA bagi memohon agar pengisytiharan Darurat ditarik semula, dan Parlimen bersidang secepat mungkin, sebelum 31 Januari ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan pula dilaporkan menghantar surat kepada ahli Parlimen parti itu meminta sokongan terhadap gesaan sidang Parlimen khas diadakan berhubung pengisytiharan Darurat, tetapi sebahagian besar daripada mereka menolak cadangan tersebut.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman membidas Tan Sri Annuar Musa yang menganggap surat Ahmad itu sebagai derhaka pada YdPA.

Sebaliknya, tegas Tajuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno, langkah yang diambil itu tidak salah kerana berdasarkan pada peruntukan undang-undang sedia ada.

Pada 23 Januari lalu, Annuar menyifatkan surat Ahmad itu boleh ditafsirkan sebagai cubaan menderhaka terhadap Seri Paduka Baginda.

Sambil menegaskan bahawa Umno membela institusi raja-raja, Tajuddin yang juga ahli Parlimen Pasir Salak, mengingatkan kembali Annuar semasa muda dahulu pernah menderhaka kepada Sultan Kelantan.

Permintaan Anwar agar sidang Dewan Rakyat diadakan, selaras dengan kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayob bahawa ahli Parlimen tidak boleh berbincang soal rakyat-negara di warong atau kedai makan.

Hanya Dewan Rakyat tempat sebaik-baiknya untuk ahli Parlimen berbincang. Pertikaman lidah dan hingar-bingar perkara biasa walaupun ada kalanya membuang masa.

Pada 24 Januari lalu, Anwar mendakwa 114 hingga 115 ahli Parlimen bersetuju sidang Parlimen diadakan segera dengan tumpuan menyelesaikan masalah Covid-19, dan ekonomi.

Kata ahli Parlimen Port Dickson itu, jumlah tersebut dianggap sudah mencapai cukup majoriti untuk menolak usul Kerajaan PN melaksanakan Darurat, dan menggantung Parlimen daripada bersidang.

Mengenai pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang dianggotai ahli Parlimen PN dan PH, serta pakar-pakar kesihatan, Shamrahayu berpendapat, Kerajaan perlu menubuhkan dua jawatankuasa teknikal lain di bawah jawatankuasa bebas Darurat itu.

Contohnya, kata beliau, jika sebuah jawatankuasa bebas khas yang disebut dalam Ordinan Darurat itu, ia cuma sebuah jawatankuasa sahaja. Jadi, ia mungkin tidak mampu mendapatkan keseluruhan fakta.

Justeru, Shamrahayu berpendapat sekurang-kurangnya dua jawatankuasa perlu ditubuhkan, iaitu jawatankuasa yang mengandungi orang-orang politik sahaja, dan jawatankuasa untuk memerangi Covid-19.

Alasan Shamrahayu ialah operasi jawatankuasa tersebut lebih berkesan dan meluas apabila dianggotai pelbagai orang jika ‘total lockdown’ dilaksanakan.

Beliau bertanya adakah perlu memberikan insentif RM700, misalnya kepada rakyat sebulan atau tambahkan moratorium untuk sebulan agar mereka benar-benar putus hubungan fizikal dengan masyarakat luar.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan oleh Kerajaan PN berkuatkuasa pada 11 Januari lalu adalah sah di sisi undang-undang.

Walau bagaimanapun, kata Muhamad, terdapat beberapa peruntukan dalam Ordinan Darurat yang diwartakan itu, terutamanya Perkara 14 dan 15 yang perlu diteliti sebaik-baiknya.

Hal tersebut kerana mahu mengelakkan persepsi Kerajaan PN mengamalkan ‘kuasa mutlak undang-undang’ atau rule by law, padahal banyak negara lain turut melaksanakan darurat.

Namun demikian, mereka tidak menggantung kongres dan Parlimen mereka seperti di Amerika Syarikat, dan United Kingdom (juga), malah pada hari ini ada terma bersidang dari jarak jauh. Perkara 14 dan 15 dalam Ordinan Darurat yang diwartakan melibatkan memanggil, memprorog (menggantung) dan membubarkan persidangan Parlimen dan DUN.

Kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang berkuat kuasa mulai 11 Jan 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Ordinan sepanjang 12 muka surat yang mengandungi 18 perkara itu telah dimasyhurkan oleh Agong.
———————————————————-
*RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.