Negara baru-baru ini dikejutkan dengan kejadian seorang lelaki tempatan yang didakwa hilang sewaktu urusan penjualan iPhone di Pulau Pinang.
Mendebarkan, lelaki dikenali sebagai Daniel itu juga sempat menghubungi tunangnya melalui panggilan video untuk meminta tolong sambil berlari dalam keadaan cemas.
Tular di media sosial, orang ramai diminta menyebarkan khabar kehilangan Daniel sebagai usaha untuk mendapatkan maklumat bagi mencari keberadaannya.
Mencetus tanda tanya, pemuda berusia 27 tahun itu kemudian tiba-tiba pulang ke rumah selepas empat hari menghilangkan diri dan gagal dihubungi oleh pihak polis.
Perkara sebenar akhirnya terbongkar setelah Daniel akhirnya tampil ke balai polis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan mengenai kes tersebut.
Bukan diculik seperti yang disebarkan sebelum ini, Daniel rupa-rupanya melarikan diri untuk bersembunyi daripada pemungut hutang, lapor Harian Metro.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia berdasarkan rakaman keterangan Daniel yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kelmarin.
“Pemeriksaan mendapati mangsa dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kejadian berlaku ke atas dirinya.
“Sebenarnya dia melarikan diri atau menyembunyikan diri daripada pemungut hutang,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Terdahulu, pihak polis telah meminta lelaki yang hilang sejak 3 Oktober lalu ketika membuat urusan penjualan telefon bimbit itu untuk tampil membantu siasatan lanjut.
Hal ini kerana Daniel dan juga tunangnya gagal dikesan keberadaan dan tidak dapat dihubungi selepas lelaki itu berjaya ‘menyelamatkan diri’ pada 7 Oktober lalu.
Kembali ke rumah keluarga dengan selamat, muka dan badan Daniel dikatakan berada dalam keadaan teruk selain masih trauma dengan apa yang telah berlaku.
Daniel yang dikatakan kali terakhir dikesan berada di George Town, Pulau Pinang itu didakwa berjaya pulang ke rumah setelah diselamatkan oleh pemandu lori.