Malaysia Dateline

Bukan doa makbul tapi Allah murka

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin mengingatkan keburukan boleh berlaku bukan kerana termakbulnya doa sebaliknya kemurkaan Allah lantaran perbuatan mendoakan keburukan itu.

Menurutnya, rahmat Allah mendahului kemurkaan-Nya memandangkan Allah sukakan kebaikan dan keindahan.

“Di sana-sini ada saudara-mara kita, adik-beradik kita, ipar-lamai kita, rakan-rakan kita.

“Sanggupkah kita melihat mereka ditimpa keburukan kerana kerakusan sikap dan pemikiran kita?” ujarnya di Facebook beliau.

Tanpa menyebut mana-mana individu, kenyataan beliau itu dilihat sebagai reaksi kepada hantaran Ahli Jawatankuasa Pusat Pas, Dr Riduan Mohamad Nor di Facebook pada 23 September lalu.

Ustaz Zolkharnain Abidin

Penceramah yang diundang banyak masjid itu melampirkan gambar sekeping kertas dengan tertera doa di hadapan Kaabah antaranya mendoakan kehancuran kerajaan Pakatan Harapan pada PRU-15.

“Berani ke nak aminkan?” tulis Riduan ringkas dengan mendapat 684 perkongsian dan 2,200 komentar setakat jam 6 petang hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Zolkharnain berkata, tidak menghairankan pemikiran takfiri menjadi amalan apabila berjauhan dengan Kaabah.

“Kalau di depan Kaabah pun mereka membawa jiwa dan pemikiran permusuhan, tak hairanlah ketika berjauhan dengan Kaabah mereka membawa jiwa dan pemikiran takfiri.

“Suka sungguh mereka doakan keburukan untuk orang lain. Sedangkan Allah yang mereka panjatkan doa adalah baik, sukakan kebaikan. Allah adalah cantik, sukakan kecantikan,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan orang yang berasa dirinya suci akan berdoa keburukan untuk orang lain, walhal, Allah tidak menyuruh mendoakan keburukan.

“Berdoa keburukan adalah bisikan syaitan sekalipun doa itu dilafazkan di hadapan Kaabah,” tegasnya.

Sehubungan itu, Ustaz Zolkharnain menyeru agar usah mencemarkan ibadat doa dengan ungkapan buruk yang membawa kerosakan lantaran Allah membenci perosak.

“Apabila Allah memakbulkan doa kebaikan, semua orang akan mendapat manfaat. Begitulah sebaliknya.

“Berdoalah kebaikan untuk diri sendiri dan semua orang. Tak rugi apa-apa pun. Allah Maha Kaya,” jelasnya lagi.