Malaysia hari ini dikejutkan dengan kes pergaduhan dua adik-beradik yang dikatakan menjadi punca kepada penemuan mayat di Kampung Sungai Choh, Rawang.
Bagaimanapun dalam perkembangan terbaharu, pihak polis mengesahkan bahawa kematian mangsa sebenarnya berpunca dari salah faham antara pasangan kekasih.
Susulan itu, tiga beradik telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki yang ditemui ditanam di kawasan belukar di belakang sebuah rumah.
Tiga suspek melibatkan dua lelaki berusia 29 dan 33 tahun serta seorang wanita berusia 32 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan kira-kira 11.25 malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, telah berlaku salah faham antara mangsa dengan kekasihnya di rumah berkenaan.
Kekasih mangsa merupakan adik perempuan kepada suspek dan pertelingkahan itu malangnya berakhir dengan kematian seorang daripada mereka, lapor Harian Metro.
“Mangsa datang (ke lokasi kejadian) bersama empat individu sebelum berlaku pertengkaran menyebabkan mangsa dipukul menggunakan kayu, botol kaca dan tong besi sehingga mati.
“Selain daripada tiga suspek yang ditahan, polis masih mengesan empat suspek (individu membawa mangsa ke lokasi kejadian) yang masih bebas iaitu dua lelaki dan dua wanita,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Mayat mangsa kemudian ditanam di belakang rumah keluarga itu sebelum wanita berusia 27 tahun yang juga isteri kepada salah seorang suspek membuat laporan polis.
Noor Ariffin memaklumkan bahawa berdasarkan laporan, pengadu terdengar perbualan antara suami dan abang iparnya yang meminta tolong untuk menanam satu mayat.
Perbualan yang didengar pada jam 5 petang itu menyebabkan pengadu membuat laporan polis pada pukul 11.25 malam sebelum mayat digali keluar pada 5 pagi tadi.
“Siasatan awal polis menjumpai mayat lelaki tanpa pengenalan diri yang dipercayai warga tempatan ditanam dalam satu kawasan belukar,” katanya memetik Harian Metro.
Menurut Noor Ariffin, kesemua suspek bakal direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Baca juga: Seram tengok filem Seksa Neraka, ‘transgender’ terus insaf