Malaysia Dateline

Bukan gantung pelajar tapi gantung menteri

Cadangan menggantung persekolahan murid kerana tidak mengikuti sesi PdPR adalah cadangan tidak berperikemanusiaan bahkan sebenarnya suatu kejahilan dalam memahami realiti di bawah yang sedang rakyat hadapi.

Menyelusuri kehidupan rakyat kebanyakan berdepan pandemik ini benar-benar menyentuh hati jika kita benar-benar seorang manusia. Keperitan pencari nafkah utama keluarga benar-benar teruji.

Mereka yang bekerja gaji hari, penjaja kecil, kerja kontrak, bekerja sendiri, apa jua pekerjaan yang tidak dikategorikan sebagai essential services terpaksa ‘bercuti’ meskipun itulah satu-satunya punca rezeki.

Keluarga yang besar serta bilangan anak yang ramai bersekolah pula menuntut kelengkapan peranti dan capaian internet yang masih jauh dari jalan penyelesaian.

Warga pendidik telah berusaha sehabis daya walaupun amat lelah. 150,000 komputer riba yang dijanjikan bukan sahaja jauh dari peratus sebenar keperluan pelajar yang berjuta tetapi terlalu lambat serahannya kerana setakat 12 Jun hanya sejumlah 40,290 komputer riba telah diserahkan seluruh negara namun beritanya dicanang seolah-olah satu negara pelajar yang menerimanya.

Pernahkah Menteri melihat anak-anak kita berebut peranti kedua ibubapa mereka, terpaksa menanti giliran adik-beradik yang lain selesai kelas, terpaksa tidak hadir kelas kerana bertembung jadual kelas online akibat bilangan peranti yang mereka punyai terhad?

Adakalanya terberhenti sesi pembelajaran kerana kekurangan isian semula tambah nilai (top-up). Meskipun cuma RM5 atau RM10 untuk isian semula namun bagi mereka yang telah lama terputus mata pencarian, nilai tersebut amat besar kepada mereka, melebihi harga sekilo beras.

Pernahkah Menteri merujuk kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bertajuk Covid-19 dan Ketidakseimbangan Pembelajaran yang mendapati 37 peratus daripada 900,000 iaitu sejumlah kira-kira 333,000 murid tidak memiliki alat peranti sesuai. Bukankah bilangan ini sangat-sangat signifikan?

Situasi ini bertambah buruk dengan isu capaian internet yang masih bermasalah di kawasan pedalaman dan terpencil.

Situasi pembelajaran sebegini bukan sahaja tidak menyediakan anak-anak kita secara fizikal dan mental untuk menghadapinya bahkan ramai antara mereka mula ‘give-up’ atau menyerah kalah sebelum waktunya.

Cabaran ini mungkin kecil buat kita yang dewasa tetapi hakikatnya sangat besar untuk anak-anak dalam usia seperti mereka.

Tergamakkah kita menghukum gantung sekolah anak-anak-anak yang tidak hadir PdPR kerana kegagalan kerajaan menyediakan keperluan asas pendidikan?

Pada saya, Menterilah yang harus digantung tugas kerana kegagalan menyelami permasalahan lalu tersasar jauh dalam merangka dan menetapkan strategi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang sistem pendidikan secara keseluruhan.

Pendidikan seharusnya memanusiakan manusia, memuliakan jiwa bukannya membodohkan atau memiskinkan manusia.

*NURIN AINA merupakan Ahli Parlimen Merbok yang juga Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat.