Malaysia Dateline

Bukan gementar kami seperti dalam peti sejuk, dedah Dr Hasmah

 

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali memberitahu tangan suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan menggeletar ketika mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, 10 Mei lalu kerana terlalu sejuk selepas enam jam menunggu di Istana Negara.

Menurutnya, upacara istiadat di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V itu pada mulanya dijadualkan pada 11 pagi tetapi kemudian ditunda hingga 5 petang dan akhirnya Mahathir mengangkat sumpah pada pukul 9.30 malam malam.

“Kami pernah ke Istana Negara sebelum ini, tetapi hanya untuk masa yang singkat, dan kami bersedia.

“Tetapi kali ini kami tidak bersedia, dan kami tidak tahu bahawa kami akan berada di sana selama enam jam.

“Ia sangat sejuk. Ia seperti kami dalam peti sejuk. Itulah sebabnya anda dapat melihat tangan suami saya menggeletar.

“Bukan kerana dia gementar, ini kerana kami sangat sejuk,” dipetik dari temu bual dengan Malaysiakini di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Tun Mahathir, 92, mencipta sejarah menjadi Perdana Menteri tertua di dunia dengan kembali ke Putrajaya selepas 15 tahun meletakkan jawatan itu pada 2003.

Pertama kali beliau dilantik menjadi Perdana Menteri keempat pada 1981 ketika berusia 56 tahun dan menerajui tampuk pimpinan negara selama 22 tahun.

Bezanya, kali kedua Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri atas kedudukannya dalam Pakatan Harapan (PH) yang berjaya menumbangkan Umno-BN buat pertama kali selepas 61 tahun rejim itu berkuasa.

PH menang 135 daripada 222 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekali gus mendapat mandat membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.