Malaysia Dateline

Bukan habuan kementerian baharu, dana RM7.1 bilion patut untuk kebajikan rakyat

Sekumpulan Ketua Pemuda AMANAH di Wilayah Persekutuan menyelar peruntukan tambahan sebanyak RM7.1 bilion untuk kementerian baharu yang sepatutnya diutamakan bagi kebajian rakyat.

Lima Ketua Pemuda AMANAH terbabit menegaskan peruntukan bagi membiayai pengembangan saiz Kabinet sebagai kurang efektif dan nyata hanyalah modus operandi untuk memenuhi janji politik “scheme of things”.

Mereka berpendapat peruntukan besar bagi menubuhkan kementerian baharu seharusnya disalurkan kepada golongan miskin bandar sekaligus membanteras kitaran warisan kemiskinan melalui program rintis bersasar secara serius.

“Kami mendapati realiti semasa anak-anak muda terutamanya mereka yang menetap di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sangat tertekan dengan kos sara hidup dan kehilangan pendapatan pasca Covid-19 sehingga terpaksa membuat dua kerja dalam satu-satu masa.

“Untuk agihan dana tambahan kepada kementerian yang sedia ada, terutamanya Kementerian Sumber Manusia yang boleh digunakan untuk melanjutkan Program Subsidi Upah (PSU).

“Disamping memberikan insentif kepada majikan dan pekerja dalam menghadapi cabaran semasa melalui program tersebut, langkah ini dapat mengelakkan kadar pengangguran yang berada di lingkungan 4.9 peratus terus meningkat ke tahap yang lebih membimbangkan,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Pemimpin-pemimpin muda dari sayap AMANAH itu terdiri daripada Ketua Pemuda AMANAH Lembah Pantai, Zulhafiz Zulkifli, Anhdeer Supardy Lazuardi (Batu), Mohamed Noor Hafizzuddin Mohamed Razian (Kepong), Mohd Nur Fadhil Ya’cob (Bandar Tun Razak, Penaja) dan Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar dari Bukit Bintang.

Pada 17 Ogos lalu, Rang Undang-Undang Penguntukan Semula melibatkan dana berjumlah RM7,184,083,200 diluluskan secara undi belah bahagi.

Mengulas lanjut, mereka turut menggesa kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya dalam menyelesaikan pelbagai masalah dasar akibat pandemik Covid-19.

Hal tersebut, jelas mereka, termasuklah melonggarkan kerenah birokrasi yang wujud dalam proses permohonan insentif terutamanya kepada warga kota yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Tindakan kerajaan yang bermewah dengan dana tambahan adalah kurang sensitif dengan keadaan ekonomi semasa yang menguncup.

“Sikap tidak peka ini turut mengakibatkan penangguhan bayaran elaun kepada pekerja barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh,” tegas mereka.

Sehubungan itu, mereka menyifatkan kerajaan tidak prihatin tentang kebajikan mereka yang berkhidmat di pusat jangkitan negara terbabit yang turut menjadi pangkalan utama untuk merawat pesakit Covid-19.