Bukan hanya Kit Siang & Guan Eng, benarkan semua masuk Sarawak

Bukan hanya Kit Siang & Guan Eng, benarkan semua masuk Sarawak

Kebenaran memasuki Sarawak seharusnya diperluas kepada semua pemimpin utama pembangkang bagi memberi ruang demokratik yang sepenuhnya sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

Wan Anwar Wan IbrahimNaib pengerusi biro undang-undang (Kanun) Amanah Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan kesediaan kerajaan negeri membenarkan dua pemimpin utama DAP Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng masuk ke Sarawak minggu lalu namun menuntut kebenaran yang sama diberikan kepada  pemimpin pembangkang lain.

Ini termasuk presiden Amanah Mohamad Sabu yang dihalang masuk ke Sarawak sejak 22 Mac lalu, presiden PKR Datuk Wan Azizah Wan Ismail dan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang masih belum dibenarkan masuk.

“Kanun percaya dalam membawa perubahan kepada Sarawak, kerajaan negeri sewajarnya membuka seluas-luasnya ruang demokrasi kepada rakyat Sarawak untuk membuat pilihan dalam kempen PRN yang berlangsung  sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Free Malaysia Today melaporkan, ketua menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menyarankan Wan Azizah dan Nurul Izzah menulis kepadanya sekiranya dua beranak itu mahu memasuki Sarawak.

Adenan dipetik sebagai memberitahu satu sidang akhbar malam tadi bahawa tidak ada keperluan bagi Wan Azizah untuk berbuat demikian.

Katanya, apa yang Wan Azizah perlu lakukan adalah menulis kepadanya meminta kebenaran untuk masuk ke Sarawak.

Mengulas perkara tersebut, Wan Anwar berkata, ruang demokrasi tidak akan dapat diwujudkan sekiranya kerajaan negeri terus mengambil pendekatan menghalang pemimpin-pemimpin politik daripada memasuki Sarawak bagi melaksanakan hak-hak demokratik parti mereka untuk  berpatisipasi secara adil dan saksama dalam proses demokrasi pilihan raya di negeri tersebut.

Pada masa yang sama, Kanun menyeru rakyat Sarawak agar bangkit mempertahankan hak demokratik mereka untuk  membuat pilihan yang terbaik secara terbuka serta tanpa kongkongan mana-mana pihak dalam  pilihan raya kali ini.

“Kanun turut menegaskan sekali lagi bahawa pada ketika kerajaan negeri Sarawak dilihat begitu ketat mengguna pakai kuasa imigresennya, kerajaan negeri juga diingatkan supaya menghormati hak-hak warganegara  untuk bergerak dalam Persekutuan seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan,” tegasnya.

TAGS