Bukan hanya program bersama menteri, proses kaderisasi sangat penting

Bukan hanya program bersama menteri, proses kaderisasi sangat penting

Pembangunan anggota AMANAH dan sistem pengkaderan tidak harus dipandang mudah dari peringkat nasional hingga ke cawangan, tegas Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Menurut calon dari pasukan Pemuda Bekerja itu, Pemuda AMANAH perlu menyedari aspek pengkaderan penting diberi keutamaan bukan sekadar program bersama menteri bagi menjayakan sebarang agenda parti ke seluruh segmen pengundi.

“Hari ini siapa melihat proses kaderisasi itu sama penting dengan program bersama menteri?

“Berapa ramai daripada kita pasca menang PRU memandang program bersama mahasiswa dan remaja sekolah sama penting dengan program bersama pimpinan parti yang bertaraf menteri dan timbalan menteri?” soalnya.

Shazni berkata demikian pada Forum Pemuda Hala Tuju Pemuda AMANAH dalam Landskap Malaysia Baharu di Bandar Sri Sendayan, Seremban, 3 Ogos lalu.

Pengarah Mobilisasi Pemuda AMANAH Nasional itu menegaskan gerak kerja berkaitan kaderisasi penting termasuk untuk melahirkan kepimpinan parti pada masa depan.

“Kita sebutlah apa-apa agenda sekali pun seperti tamrin untuk menggarap visi AMANAH sehingga ke peringkat akar umbi, tidak menjadi kenyataan (tanpa pengukuhan kaderisasi).

“Sebab, kita tidak memandang proses untuk melahirkan kepimpinan masa depan itu penting. Kita mesti ubah terlebih dahulu paradigma itu.

“Kita harus melihat proses kaderisasi itu sangat penting seperti program politik, kemudian barulah kita boleh bincang bagaimana untuk menggerakkan program-program tersebut,” ujarnya.

Mengambil contoh Kursus Asas Keahlian AMANAH (KALAM), Shazni berpendapat modul asas kepada semua ahli parti itu dilihat paling agresif digerakkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Selepas pilihan raya (tahun lalu), ada (KALAM) tidak dinafikan, tetapi penerimaan dan sambutan didapati berbeza berbanding program-program besar yang dihadiri pemimpin negara,” tegasnya.

 

Pemangkin

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Pemuda AMANAH harus menjadi pemangkin kepada perubahan baharu yang dilakukan menjelang PRU-15 seperti menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun.

“Kita harus memandang program kaderisasi itu penting sebab pada PRU-15 seawal (usia) 18 tahun sudah jadi pengundi.

“Menjelang 2023, jumlahnya mencecah 50 peratus kalangan pengundi. Kalau kaderisasi dan latihan-latihan di kampus dan sekolah tidak digerakkan oleh Pemuda di setiap peringkat, saya tidak yakin kita akan mapan dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Tambah Pengurus Besar Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC) itu, Pemuda AMANAH dari pelbagai latar belakang perlu melaksanakan kerja-kerja yang dianggapnya sebagai “susah dan renyah” meskipun mungkin tidak dipandang oleh pemimpin di peringkat atas.

Shazni antara 27 calon dari pasukan Pemuda Bekerja yang diterajui Ketua Pemuda AMANAH Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dengan telah melancarkan gagasan 531 mereka di Kuala Lumpur pada 30 Julai lalu.

Dua pasukan lagi iaitu Pemuda Bangkit diterajui Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Abbas Azmi manakala Pemuda Wibawa diketuai Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Wan Anwar Wan Ibrahim yang juga Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ketiga-tiga pasukan tersebut bersaing sempena Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional pada 26 dan 27 Oktober ini bagi mengisi barisan kepimpinan sayap anak muda parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.