Malaysia Dateline

Bukan hanya Tun Mahathir ulas nasib Muslim India, seluruh dunia turut bersuara

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan, bukan hanya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sahaja yang mengulas isu Rang Undang-undang Kewarganegaraan berasaskan agama di India.

Malah, menurut Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, ia turut mendapat perhatian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (PBB) yang menyatakan pendirian bahawa akta tersebut secara asasnya bersifat diskriminatif.

Beliau berkata, Setiausaha Agong PBB, Anthony Guteres, sendiri menyatakan kekhuatirannya terhadap kekerasan yang digunakan pihak polis India terhadap para penunjuk perasan yang menentang akta tersebut.

“PBB mengingatkan kerajaan India terhadap tanggungjawabnya menjamin hak samarata kepada rakyatnya tanpa diskriminasi berasaskan agama dan kaum.

“Jutaan rakyat di India malah bangkit dan mengadakan bantahan di jalan raya yang melibatkan beberapa rakyat ditembak mati dan ratusan cedera serta ribuan ditangkap.

“Apakah kerajaan India mahu berselindung di sebalik kenyataan bahawa isu ini adalah urusan dalam negaranya, padahal rakyatnya sendiri menentang keras akta yang dilihat anti Muslim itu?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mapim turut senada dengan pandangan Dr Mahathir bahawa kesan akta itu sebenarnya memangsakan rakyatnya sendiri yang berbilang agama.

Mohd Azmi turut mengkritik perlaksanaan akta yang mendiskriminasi individu atas dasar agama yang secara jelas mengetepikan Muslim dalam proses pendaftaran kerakyatan negara itu.

Malah, beliau juga mempersoalkan tentang gesaan India agar Malaysia tidak lagi mengulas soal dalaman negara itu, terutama tanpa ‘pemahaman yang betul tentang fakta’ isu tersebut.

“Jika pandangan Tun Mahathir dianggap tidak tepat oleh India, maka apakah pendapat jutaan rakyat India yang berdemonstrasi sudah lebih seminggu itu juga tidak tepat?

“Kami bertegas bahawa kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP) melalui kumpulan fanatik nasionalis Hindu Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS) di India sedang menegangkan hubungan antara agama,” katanya.

Ujarnya lagi, kehadiran 200 juta Muslim yang bermastautin di seluruh india sejak ratusan tahun sememangnya tidak disenangi oleh puak fanatik nasionalis BJP dan RSS.

Ini kerana katanya, banyak kes ‘mob lynching’ terhadap Muslim yang berleluasa di India, termasuk puak ‘cow vigilante’ iaitu kumpulan pelindung lembu yang menyerang Muslim yang memakan daging lembu.

Justeru katanya, Mapim menggesa kerajaan India untuk menghentikan segala langkah yang berisiko menegangkan lagi hubungan antara agama di India.

“Kami juga menggesa kerajaan India supaya sedar implikasi daripada akta itu yang akan memberi kesan negatif kepada keharmonian hubungan agama di India.

“Pandangan Tun Mahathir hanya mengingatkan India supaya jangan mengetepikan hak golongan minoriti,” ujarnya.