Malaysia Dateline

Bukan iktiraf LGBT tapi dekati untuk rawatan dan dakwah, kata Exco Kedah

Kerajaan Negeri tidak mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sepertimana yang sedang digembar-gemburkan ketika ini.

Sebaliknya pendekatan yang dibuat adalah bagi tujuan rawatan dan berdakwah semata-mata.

Demikian dinyatakan oleh Exco Penerangan, Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama Datuk Dr Ismail Salleh yang merupakan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah.

Jelas beliau lagi, tidak pernah timbul isu kerajaan negeri mengiktiraf LGBT.

Malah katanya, usaha yang dilakukan adalah bagi tujuan rawatan untuk menyedarkan golongan tersebut bahawa ia merupakan penyakit suatu penyakit.

“Dari segi perubatan kita merawat melalui kerohanian.

“Keterbukaan yang dilaksanakan adalah sejajar dengan peruntukan yang terkandung dalam Enakmen Syariah Seksyen 23, 24 dan 26 berkaitan dengan transgender.

“Ia juga merupakan saranan yang pernah dibuat oleh ulama-ulama terdahulu seperti Sheikh Al Bana, ” tegasnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi AMANAH Negeri Kedah turut berkata, apa yang dilaksanakan adalah bagi mengenal pasti masalah golongan tersebut serta menarik mereka untuk bersama.

Ujarnya, tidak dapat dinafikan terdapat dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan tidak cenderung kepada Islam serta mula mendekati LGBT.

Namun begitu katanya, apa yang dicuba dilakukan adalah sebagai salah satu proses rawatan.