Malaysia Dateline

Bukan Islam dipuji sertai demo solidariti Al-Quds

Peserta demonstrasi solidariti pembebasan Baitul Maqdis (Al-Quds) dari kalangan bukan Islam dipuji kerana prihatin menentang kezaliman sejagat.

Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa berkata, sudah tiba masanya masyarakat tanpa mengira latar belakang, agama dan keturunan bersatu padu menjulang kebaikan dan menentang kezaliman walau siapapun melakukannya.

“Penindasan terhadap penduduk Palestin adalah isu kemanusiaan sejagat dan bukannya isu agama dan bangsa semata-mata.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakan-rakan bukan muslim yang turut bersama hari ini,” katanya ketika berucap di perhimpunan solidariti pembebasan BaitulMaqdis di Dataran Rehal, Kota Bharu selepas solat jumaat semalam.

Suara masyarakat dunia kata Husam, perlu dizahirkan dari peringkat akar umbi bagi memberi amaran kepada pihak zionis yang terus menjalankan kerja-kerja durjana.

“Ini penting kerana mereka yang berkepentingan termasuk kerajaan-kerajaan yang memerintah umat Islam turut lesu dan bisu dalam tindakan terhadap kebiadaban Yahudi ini.

“Ini termasuklah apa yang berlaku di negara kita sendiri,” katanya.

Sikap biadap yang ditunjukkan kali ini kata Husam amat di luar kewarasan dan tatacara masyarakat bertamaddun.

“Apabila mereka menghalang umat Islam masuk ke Masjidil Aqsa untuk beribadat dan terdapat gambar menunjukkan tentera Israel bertindak ganas kepada orang yang sedang solat, jenayah ini tidak boleh dimaafkan.

“Saya bersyukur kerana di negara kita bukan sahaja umat Islam bangkit bersolidariti tetapi juga rakan-rakan kita yang bukan muslim,” katanya.

Dalam perhimpunan semalam, beratus-ratus jemaah yang selesai solat jumaat di Masjid Muhammadi, Kota Bharu menyertai himpunan anjuran Pakatan Harapan itu.

Israel terrorist, I love Palestine, selamatkan Masjid Al Aqsa adalah antara slogan-slogan yang diangkat oleh para demonstran yang hadir.

Turut serta dan berucap dalam perhimpunan itu adalah pemimpin-pemimpin PKR, PPBM dan DAP.