Malaysia Dateline

Bukan Islam terharu terima bantuan makanan Yapeim

Program Foodbank yang dianjurkan oleh Yapiem dan kerajaan pusat menyasarkan pelajar dari golongan kurang berkemampuan untuk diberi bantuan tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.

Menurut pelajar Pengurusan Sumber Manusia Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) Kuralamudhan a/l Neduncheliyan, 19, meluahkan kegembiraan kerana terpilih untuk menerima bantuan tersebut.

Menurutnya, kerajaan hari ini dilihat bersungguh untuk membantu golongan seperti dirinya dalam mencari ilmu dengan mengadakan program sebegini.

“Saya bergembira dan boleh selesaikan masalah saya dalam berhadapan dengan kekangan untuk mendapatkan bahan makanan dan terkadang terpaksa mengikat perut.

“Ini adalah inisiatif yang baik dari kerajaan dan Yapiem serta ini amatlah bertepatan kerana seperti kita ketahui pelajar seperti saya banyak berhadapan dengan permasalahan seperti ini.

“Harapan saya agar kerajaan terus menerus membantu golongan seperti kami dan perlu memperbanyakkan lagi program-program seperti ini dari masa ke semasa,” katanya.

Dalam pada masa yang sama, seorang lagi pelajar bidang Seni Kulinari KYPJ, Rabieyatul Addawieyah Yhaya, 19, berkata program ini mampu menjimatkan belanja pelajar untuk meneruskan pembelajarannya.

Beliau turut berkongsi pengalaman sebelum ini yang terpaksa makan makanan sekadar sahaja seperti roti kosong dan air suam.

“Saya pernah satu hari tu terpaksa makan satu hari sekali sahaja kerana berjimat akibat ketiadaan wang untuk membeli makanan.

“Saya ambil nasi putih banyak dan terpaksa makan nasi lebih untuk menahan lapar kerana terpaksa makan sekali sehari dan perkara ini kerap berlaku setiap bulan.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana membantu pelajar-pelajar seperti kami. Saya juga berharap agar kerajaan mencari lagi pelajar seperti saya untuk dibantu pada program seterusnya,” katanya.

Sebanyak 800 pelajar diseluruh negeri Johor yang menerima bantuan berkenaan dan ia melibatkan seluruh IPTA di negeri ini.