Umno sepatutnya mewujudkan muafakat bersama bukan mencadangkan wujudnya kerajaan perpaduan (UG) dengan Pakatan Harapan (PH), kata Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, walau bagaimanapun ia (muafakat) hanya akan berlaku jika PH mendapati gabungan parti itu tidak stabil dalam politik tanah air, dan pada masa ini ia pastinya tidak akan berlaku.
“Ide kerajaan perpaduan (UG) dengan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya tidak dicadangkan Umno.
“Saya melihat UG jika lahir dari parti pemerintah lain persepsinya tetapi jika Umno yang mencadangkan ide itu ia seperti ‘menawarkan diri’ kepada kerajaan Pakatan Harapan.
“Umno sepatutnya kena wujudkan muafakat bersama, baru jadi. Jika PH pada bila-bila masa memikirkan ada ‘ancaman’ barulah ada keperluan untuk tarik parti lain.
“Tetapi pada masa sekarang saya melihat Pakatan Harapan tidak ada keperluan untuk berbuat demikian dalam menentukan survival politik gabungan empat parti itu,” ujarnya kepada Malaysia Dateline ketika ditemui pada hari penamaan calon PRK Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berharap penubuhan kerajaan perpaduan di antara parti itu dengan mana-mana parti politik dalam kerajaan PH akan dapat dizahirkan segera.
Ini kerana dakwanya terdapat parti dalam PH yang melakukan rundingan dengna Umno untuk mewujudkan kerajaan perpaduan bersama Umno bagi menangani kemelut politik negara ketika ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, apa yang pernah dicadangkan oleh Pas untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dengan Umno adalah berbeza dengan apa yang dimaksudkan kerajaan perpaduan oleh Umno dengan parti dalam gabungan Pakatan Harapan.
“Ide kerajaan perpaduan dicetuskan Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang). Ia adalah kerjasama muafakat sebagai pembangkang tidak sebagai satu team gabungan antara Umno-Pas. Ia sangat berbeza.
“Cuma dalam konteks politik baharu, adalah untuk melihat bagaimana satu muafakat diwujudkan di mana pembangkang berada dalam kerajaan bersama. Tiada lagi konsep pembangkang berlawan dengan kerajaan pemerintah, sistem ini sudah banyak dilaksana di kebanyakan negara,” ujarnya.
Justeru beliau tidak menyangkal kemungkinan pengumuman kabinet bayangan BN seperti diumumkan Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa pada Rabu adalah alternatif, sekiranya kerajaan perpaduan itu gagal diterima PH, untuk memantau perjalanan setiap kementerian dalam kerajaan PH.
“Senarai kabinet bayangan itu ibaratkan ‘sebahagian’ daripada kerajaan. Tetapi dalam Pas kita sudah ada 18 ahli parlimen yang bertanggungjawab memantau di setiap kementerian dalam kerajaan,” ujarnya.
Beliau mendakwa, kabinet bayangan BN ini, seolah-olah memberikan gambaran Umno-BN menjangkakan parti mereka akan berada dalam kerajaan sekiranya matlamat mewujudkan kerajaan perpaduan dengan mana-mana parti dalam gabungan PH itu berlaku.
” Pas melihat sejauh mana PH boleh membina kekuatan dalaman bersama dalam konteks gabungan empat parti itu.
“Saya jangka payah Pakatan Harapan akan bersetuju kecuali kerajaan tidak lagi stabil disebabkan isu-isu yang berlaku dalam PH.
“Pandangan peribadi saya tiada keperluan Umno-BN wujudkan kerajaan perpaduan atau kabinet bayangan pada masa ini, sekalipun ahlinya keluar parti atau lompat parti,” ujarnya.