Bukan kesempatan menteri rasa selamat, tegas Kadir Jasin

Bukan kesempatan menteri rasa selamat, tegas Kadir Jasin

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk Abdul Kadir Jasin mengingatkan anggota kerajaan agar tidak rasa selamat ekoran tiada rombakan Kabinet.

Menurutnya, Perdana Menteri mungkin berulang kali berkata tiada rombakan Kabinet serta akan menunaikan janji menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tetapi ini bukan kesempatan kepada para menteri untuk berasa selamat dan meneruskan cara-cara tidak tentu arah mereka.

“Mungkin ini cara Perdana Menteri mengatakan (kepada Kabinet) ‘mungkin lebih baik kamu semua perbaiki perangai masing-masing atau berundur apabila saya tiada lagi di sini untuk mempertahankan kamu’.

Pengikut setia Tun Dr. Mahathir Mohamad itu berkata demikian menerusi muat naik dalam blognya, kadirjasin.blogspot.com.

Abdul Kadir yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat turut menyindir dengan menyebut tentang klip video.

“Jadi mana-mana menteri yang rasa tidak tahan hendak berlakon dalam filem atau klip video, sila pastikan ia kategori umum,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan tentang pentingnya isu-isu mendesak termasuk penderitaan warga Felda, nelayan, pesawah, penoreh getah dan peneroka Felcra lebih diberikan perhatian.