Bukan kurangkan kakitangan awam tapi elak diperalat orang politik

Kecenderungan kakitangan awam diperalat bagi tujuan politik perlu dibendung.

Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengurangkan jumlah kakitangan awam seperti didakwa perdana menteri sebaliknya akan berusaha menghapuskan ‘herotan sumber manusia’ yang ada akibat campur tangan politik yang keterlaluan dalam perkhidmatan awam.

Usaha ini boleh dicapai dengan menyusun kembali agihan sumber manusia di dalam perkhidmatan awam dan memastikan kakitangan awam berkhidmat untuk rakyat dan bukannya kepada ahli politik yang menjadi menteri atau yang menguasai badan kerajaan atas lantikan politik, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

“Masalah sebenar ialah terlalu banyak kakitangan awam yang ditanggung oleh rakyat yang sebenarnya tidak berkhidmat untuk rakyat, tetapi berkhidmat untuk ahli politik yang menjadi menteri atau menguasai badan kerajaan atas lantikan politik,” ujar beliau.

Rafizi memberi contoh 200 kakitangan awam yang berkhidmat khusus untuk perdana menteri (dan isteri) dan 77 orang yang berkhidmat khusus untuk timbalan perdana menteri malah rakyat perlu menanggung gaji 607 pegawai dan pembantu menteri-menteri pada setiap bulan.

“Sebelum ini saya telah timbulkan perkara ini secara khusus, iaitu jumlah kakitangan awam yang berkhidmat di bawah Pejabat Perdana Menteri. Saya juga telah tunjukkan secara khusus jumlah tukang masak, pembantu rumah dan lain-lain yang ditanggung oleh rakyat untuk berkhidmat di kediaman perdana menteri.

“Malah saya telah fokuskan juga mengenai seorang ketua penolong pengarah (KPP) yang mengetuai satu unit yang dipanggil Bahagian Khas, Jabatan Perdana Menteri yang diwujudkan khusus untuk menjadi pejabat Datin Seri Rosmah Mansor dan kerjanya menjadi ‘kaki pukul politik’ untuk membidas mana-mana pihak yang berani mengkritik Datin Seri Rosmah,” ujar ahli parlimen Pandan itu.

Dalam kenyataan medianya juga, Rafizi menyertakan jadual yang menunjukkan jumlah penjawat awam yang diperuntukkan kepada enam menteri kanan iaitu presiden, naib-naib presiden dan ketua pemuda Umno, presiden MCA dan presiden MIC.

Menurut beliau, jumlah penjawat awam termasuk lantikan politik untuk enam pemimpin kanan Umno/BN ialah 335 orang.

“Ini adalah jumlah yang paling konservatif kerana saya tidak mengambil kira jumlah unit-unit lain di luar pejabat menteri,” katanya.

Rafizi Ramli

Tambah beliau, dengan purata 10 kakitangan awam yang berkhidmat kepada seorang menteri dan kabinet yang mempunyai 33 menteri (selain perdana menteri dan timbalan perdana menteri), kakitangan awam untuk jemaah menteri sahaja berjumlah 330 orang.

Rafizi berkata, apabila dicampur 200 orang yang berkhidmat khusus untuk perdana menteri (dan isteri) dan 77 orang yang berkhidmat khusus untuk timbalan perdana menteri, rakyat perlu menanggung gaji 607 pegawai dan pembantu menteri pada setiap bulan.

Menurut beliau, dapatan awal ini menunjukkan masalah sebenar perkhidmatan awam di negara ini adalah pengaruh politik yang keterlaluan sehinggakan sumber tenaga manusia ‘diherotkan’ untuk memenuhi keperluan menteri-menteri dan orang politik.

“Jemaah Menteri misalnya, tidak memerlukan sehingga 607 orang pegawai dan pembantu seperti sekarang. Sebahagian besar dari mereka (yang bukan lantikan politik) seharusnya ditugaskan untuk berurusan dengan rakyat melalui perkhidmatan-perkhidmatan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” ujar beliau.

Bagi menjawab tuduhan perdana menteri bahawa Pakatan Harapan akan membuang separuh kakitangan awam, Rafizi yakin Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan beberapa langkah untuk memperbetulkan herotan sumber perkhidmatan awam.

Langkah utama, katanya adalah mengecilkan saiz Jemaah Menteri kepada sekitar 20 orang dengan menstrukturkan kembali kementerian-kementerian supaya tidak bertindih yang secara langsung akan mengurang jumlah gaji yang perlu dibayar dan jumlah kakitangan awam yang diperuntukkan kepada menteri.

PH juga, jelas Rafizi akan mengurangkan jumlah kakitangan awam (lantikan politik atau yang dalam perkhidmatan) yang diperuntukkan untuk berkhidmat dengan menteri dan timbalan-timbalan menteri.

“Saya percaya kakitangan awam untuk perdana menteri mestilah dikurangkan kepada 70 orang sahaja dari jumlah 200 sekarang, timbalan perdana menteri dikurangkan kepada 30 orang sahaja dari jumlah 77 sekarang, dan menteri-menteri dikurangkan kepada 6 orang sahaja dari purata 10 orang sekarang,” jelasnya.

Tidak seperti tuduhan Datuk Seri Najib Razak, PH akan memberi tugasan baru kepada kakitangan awam yang kini berkhidmat dengan menteri-menteri dan ahli politik dengan tugas yang berurusan secara langsung dengan rakyat.

Konsep yang sama, jelasnya digunakan untuk menyusun kembali agihan sumber manusia di dalam perkhidmatan awam bagi menghapuskan herotan sumber akibat campur tangan politik yang keterlaluan.

Rafizi berjanji akan membentangkan angka-angka mengikut kementerian yang boleh menunjukkan secara khusus bagaimana herotan sumber manusia ini berlaku dan bagaimana agihan sumber manusia boleh membantu memastikan jumlah kakitangan perkhidmatan awam yang optimum.

“Saya akan berusaha supaya sekurang-kurangnya setiap satu minggu, saya boleh membentangkan satu laporan yang terperinci seperti ini untuk makluman rakyat,” katanya.

Beliau turut yakin langkah yang bakal dilaksanakan PH ini mendapat dokongan kakitangan awam yang secara umum mengetahui apa yang berlaku.

Rafizi juga akan menunjukkan bagaimana manfaat kewangan dan perkhidmatan yang diberikan kepada penjawat awam semakin berkurangan sejak di bawah pentadbiran Najib.

“Jika Datuk Seri Najib mahu menggunakan retorik lama menakut-nakutkan kakitangan awam, saya rasa kali ini beliau akan bertemu buku dengan ruas kerana saya telah lama menunggu peluang ini,” tegasnya.

8.5
OVERALL SCORE
: 7.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS