Malaysia Dateline

Bukan Mahathir, Anwar atau Kit Siang yang boleh selamatkan Malaysia, kata Kit Siang

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan Malaysia boleh diselamatkan oleh gabungan tenaga dan komitmen daripada golongan muda, wanita, dan warga emas.

Menurutnya, masa depan Malaysia kini berada di tangan segenap lapisan masyarakat dengan gandingan semua pihak impian untuk sebuah Malaysia Baharu belum lagi terpadam.

“Ramai rakyat Malaysia telah berfikir mengenai persoalan ‘Siapakah yang dapat menyelamatkan Malaysia’.

“Saya percaya, jawapannya bukanlah Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Gobind Singh Deo, ataupun M Kulasegaran.

“Tetapi sama ada kita dapat memotivasikan dan menggerakkan golongan muda, wanita, dan warga emas dalam negara dengan mengumpulkan tenaga serta komitmen mereka untuk menyelamatkan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Adakah impian untuk sebuah Malaysia Baharu ini telah hilang selama-lamanya dan kita semua telah disumpah untuk kekal sebagai sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal?

“Saya tidak merasakan begitu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Walau bagaimanapun, katanya, tentera siber yang menyebarkan penipuan, fitnah, dan kebencian tidak mementingkan fakta dan kebenaran.

“Kita tidak boleh jatuh kepada paras yang jijik seperti mereka ini dan apa yang lebih penting lagi, kita harus memastikan rakyat Malaysia tidak tertipu dengan penipuan, fitnah, dan kebencian yang mereka cuba tanamkan dalam pemikiran kita semua,” tegasnya.

Dalam masa sama, Kit Siang mengakui benih-benih kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah pun ditanam seawal seratus sehari pertama pentadbiran kerajaan baharu itu.

“Satu kesilapan besar terawal yang dilakukan oleh kerajaan PH adalah keputusan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan semua bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD) tanpa mempersiap-sediakan rakyat untuk menerimanya.

“Perkara ini datang sebagai kejutan kepada para pemimpin DAP dan saya apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan di dalam ucapan beliau di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada bulan September 2018 yang kerajaan berhasrat untuk meratifikasi semua konvensyen-konvesyen utama PBB yang berkaitan dengan hak asasi manusia.

“Perkara ini kemudiannya disusuli dengan pengumuman yang kerajaan berhasrat untuk meratifikasi ICERD menjelang suku pertama tahun 2019,” katanya.

Beliau berpendapat isu ratifikasi ICERD itu telah memberikan peluru kepada pimpinan Umno dan Pas untuk melancarkan serangan dengan memainkan isu keagamaan dan perkauman.

“Kononnya perkara ini bertentangan dengan Perlembagaan negara, kononnya perkara ini akan menghakis keistimewaan orang Melayu, dan menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, langsung mencipta satu ilusi yang kononnya terdapat pergolakan perkauman dan keagamaan dalam negara.

“Presiden PAS semasa itu mendakwa yang rancangan untuk meratifikasi konvensyen ini tidak diasaskan kepada lunas agama dan kemanusiaan dan menggesa rakyat untuk tidak terpengaruh dengan negara barat yang telah mengabaikan ‘agama dan etika sebenar kemanusiaan.’

“Tidak ada sekelumit pun kebenaran dalam semua penipuan dan penyelewengan ini,” tegas Kit Siang lagi.