Malaysia Dateline

‘Bukan Mahathir dan Anwar yang gila kuasa’

 

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi menegaskan tindakan keras perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, terdapat pihak yang dianggap gila kuasa sehingga mengeksploitasi isu peralihan kuasa Perdana Menteri hanya kerana kehendak mereka sendiri.

“Sesiapa pun yang terlibat dalam percubaan jahat rampasan kuasa ini perlu ditentang habis-habisan dan diambil tindakan tegas.

“Ternyata yang gila kuasa itu bukanlah Tun Dr Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi ada pihak lain yang lebih gila yang terdesak memperalatkan isu peralihan demi kepentingan politik peribadi mereka,” bidasnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mandat rakyat melalui PRU-14 yang menolak rejim kleptokrasi dan parti-parti penunggang agama dan bangsa wajib terus dipertahankan.

Ujarnya, segala sokongan dan dokongan rakyat adalah kepada PH dan agenda reformasi adalah dengan matlamat untuk Membina Semula Negara.

Sehubungan itu, Aiman Athirah berkata, sebarang usaha dan tindakan yang bercanggah daripada itu tidak menggambarkan apa yang diinginkan rakyat.

“Sebarang usaha membentuk kerajaan pintu belakang adalah jelas satu pengkhianatan, pembelotan dan menghina mandat rakyat.

“Para pengkhianat ini semakin jelas dan zahir sejak kelmarin, muncul tanpa malu dan segan silu. Bangga bahawa mereka akan mewujudkan kerajaan baharu dengan cara yang tidak bermoral.

“Bagaimana mungkin hal ini dapat diterima kerana di sana ada pemimpin-pemimpin yang sedang terpalit dengan pelbagai jenayah, dakwaan jenayah, salahguna kuasa dan penyelewengan sepanjang mereka berkuasa,” tempelaknya.

Aiman Athirah mengingatkan keutamaan semua pimpinan PH yang bersih adalah pada kestabilan negara sebagai usaha memacu negara ke arah kemakmuran bersama.

“Fokus itu wajar terus diutamakan seiring dengan agenda PH sejak PRU-14 lagi.

“AWAN Nasional yakin dan percaya, sikap dan integriti ini akan terus menjadi pertimbangan utama semua pihak yang jujur dan benar dalam politik,” katanya.

Justeru, jelasnya, AWAN Nasional menyeru agar semua ahli dan rakyat bertenang serta merapatkan saf PH yang terdiri daripada AMANAH, Bersatu, DAP dan KeADILan.

“Kita akan lalui gelombang mabuk kuasa pihak-pihak berkepentingan ini dengan kekuatan dan kesatuan perjuangan kita yang sejujur dan setuntasnya untuk rakyat.

“Kita yakin dan percaya semua parti berkoalasi dalam PH dipimpin oleh ahli-ahli politik yang matang dan utamakan kerjasama dan kestabilan kerajaan,” tambahnya lagi.