Bukan mahu berpecah, Melayu perlukan pemimpin lebih baik

Bukan mahu berpecah, Melayu perlukan pemimpin lebih baik

Keputusan Amanah bertanding di 13 kerusi Dun dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah untuk menawarkan kepimpinan lebih baik kepada rakyat di Sarawak.

Pengerusi Biro Undang-undang (Kanun) Amanah Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, penyertaan Amanah dalam PRN esok sesuai dengan prinsip demokrasi seperti termaktub dalam perlembagaan.

Mengulas tuduhan pemimpin BN Sarawak hari ini kononnya Amanah cuba memecahkan perpaduan Melayu Bumiputera di negeri itu, beliau berpendapat tuduhan tersebut langsung tidak masuk akal.

“Kalau tindakan Amanah bertanding dalam PRN memecahkan perpaduan rakyat, tidak perlulah kerajaan buat pilihan raya sampai KDN (Kementerian Dalam Negeri) saja berbelanja sampai RM20 juta.

“Dakwaan BN itu tidak lebih hanya politik sempit yang muncul hanya mahu mempertahankan kuasa saja selepas mereka mengabaikan banyak hak rakyat.

“Kawasan luar bandar yang jauh ketinggalan, rampasan tanah adat itu semua penindasan yang cuba disembunyikan di sebalik modal kononnya perpaduan rakyat terancam,” ujarnya ketika ditemui di Pusat Operasi Pilihan Raya Amanah di Kampung Semera, Sadong Jaya.

Terdahulu, Malaysia Dateline melaporkan pemimpin BN di Sarawak, Wan Abdul Wahab Wan Sanusi berang dengan sekumpulan petugas Amanah selepas sembahyang Jumaat di Masjid Riadus Salihin, Kampung Semera di Dun Sadong Jaya.

Bekas Adun BN selama tiga penggal itu menuduh penglibatan Amanah dalam PRN kali ini hanya mengundang perpecahan dalam masyarakat Melayu Bumiputera di negeri tersebut.

Calon Amanah orang Sarawak, tujuh tawaran buat anak negeri

Ditanya tentang sikap BN yang cenderung mengapi-apikan sentimen Sarawak for Sarawakians dan penolakan terhadap parti dari Semenanjung, Zamri berkata, pemilihan anak tempatan bagi kesemua calon bertanding bukti Amanah bukan seperti didakwa.

“PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) sama saja dengan Umno sengaja takut-takutkan Melayu Bumiputera dengan dakwaan emosional sebagai talian hayat BN. Bezanya hanya pada nama dan wilayah tapi berdiri atas manipulasi sempit perkauman,” jelasnya.

Menurutnya, tujuh tawaran Amanah termasuk memperjuangkan pemilikan geran tanah serta mewujudkan lebih banyak peluang kerja untuk anak negeri adalah kesungguhan parti itu untuk membela rakyat di Sarawak.

“Kita bukan bawa orang luar (Semenanjung) untuk menjadi wakil rakyat penduduk tempatan. Rakyat Sarawak sendiri sudah sedar bahawa sentimen membenci Semenanjung sama sekali tidak berfaedah kepada mereka,” tambahnya lagi.

Esok seramai 1,138,650 pengundi di Sarawak akan keluar mengundi dalam proses memilih kerajaan yang kedua terbesar di negara ini selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

PRN kali ini menyaksikan pertambahan 11 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 82 kerusi.

Untuk rekod, Dun Sarawak adalah dewan tertua di negara ini selepas mengadakan mesyuarat pertama pada 8 September 1867 sewaktu era pemerintahan keluarga Brooke.

Pada PRN 2011, PBB menyapu bersih kesemua 35 kerusi dan kali ini parti tulang belakang BN itu mendapat peruntukan tambahan lima daripada 11 kerusi Dun yang baharu.

TAGS