Seorang pengguna TikTok meluahkan rasa kesal tatkala melihat kereta milik jirannya diletakkan di dalam halaman rumahnya.
Menerusi video dikongsikan, individu itu berkata dia hendak pulang ke rumah untuk memeriksa kediamannya.
Namun dia terkejut saat melihat sebuah Proton Waja diparkir di dalam rumahnya.
“Aku balik rumah aku nak periksa rumah. Jiran buka pintu rumah aku, parkir kereta dia di dalam sesuka hati.
“Maaf nak ambil (keluarkan) kereta tunggu aku lapang. Kalau dipotong kunci itu aku akan buat laporan polis,” katanya.
Difahamkan, individu itu bertindak mengunci pagar rumah walaupun kereta jirannya masih ada di dalam rumah.
Pun begitu satu balasan komen yang dikatakan dari jirannya mendapat perhatian ramai.
Jirannya yang menggunakan nama Pak Tam mempersoal mengapa individu itu tidak memaklumkan kepadanya terus kerana rumah mereka saling berhadapan.
“Kan awak boleh bagitahu Pak Tam suruh alihkan kereta. Kenapa tak nak bagitahu. Depan rumah je bukan jauh pun. Saya tahu Pak Tam salah ceroboh rumah awak tak payah lah nak kecoh-kecoh. Hari raya kan,” kata pemilik kenderaan itu.
Perselisihan ini menjadi perdebatan ramai. Namun yang pastinya ramai menyebelahi pemilik rumah, selain mengharapkan mereka berdua boleh berdamai.
Baca juga: Ibu kecewa anak letak semua duit raya dalam tabung masjid, habis wang belanja setahun