Malaysia Dateline

Bukan majoriti peserta himpunan faham isu sebenar ICERD

Pengarah Pengasas, Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berpendapat bukan semua peserta himpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) baru-baru ini memahami triti hak asasi manusia tersebut.

Walaupun perhimpunan di Dataran Merdeka itu dilihat mendapat sambutan ramai tetapi, ujarnya, pemahaman ICERD dalam kalangan rakyat tidak menyeluruh mengakibatkan mereka mudah dipengaruhi oleh sentimen yang diketengahkan Umno-Pas.

“ICERD ini masalah utamanya tiada (penjelasan) dalam bahasa Melayu. Dalam demokrasi kalau orang tidak baca dan tidak tahu, tidak ada apa hasil.

“Isu ICERD gagal difahami kerana majoriti tidak tahu apa itu ICERD. Langkah pertama, sepatutnya terjemahkan dulu kepada bahasa Melayu.

“Saya tidak nampak bagaimana orang ramai boleh melibatkan diri (dalam himpunan bantahan ICERD) betul-betul faham isu sebenar. Mobilisasi Umno dan Pas adalah hasil interpretasi mereka yang tiada kena-mengena dengan ICERD.

Serius, pada saya tidak kena-mengena. Tapi yang pentingnya mereka boleh dianggap berjaya buat mobilisasi. Apapun, saya tidak begitu teruja sangat dengan angka,” jelasnya ketika ditemui Malaysia Dateline di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya kelmarin.

Beliau berkata, reaksi bantahan terhadap ICERD sama situasinya dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum Mei lalu.

Dr Shamsul Amri berpendapat kejatuhan BN lebih banyak dipengaruhi faktor kemunculan Tun Dr Mahathir serta penggunaan tunggal logo PKR di kertas undi bagi mewakili PH.

“Samalah dengan kemenangan PH Mei lepas. Bukan kerana orang faham sangat pun (tentang apa perlunya tolak BN). Tapi disebabkan Tun Mahathir ada. Kalau tidak diubah simbol roket (DAP) pula, PH tidak akan menang.

“Jika ada lambang roket (pada kertas undi), orang Melayu majoritinya tidak akan undi. Tapi bila tukar lambang mata (logo PKR), orang tidak fikir roket,” ujarnya lagi.