Malaysia Dateline

Bukan masa sesuai untuk PRU-15

Susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan supaya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat merupakan satu langkah dangkal dan merisikokan nyawa rakyat.

Walapun Barisan Nasional (BN) telah berjaya memenangi PRN Melaka baru-baru ini, namun tidak bermakna PRU-15 perlu diadakan secepat mungkin. Ini akan membahayakan kesihatan dan keselamatan rakyat untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Peratusan keluar pengundi yang rendah semasa PRN Melaka yang lalu juga menunjukkan bahawa rakyat tidak bersedia untuk keluar mengundi dan masih bimbang tentang penularan wabak Covid-19.

Umum ketahui bahawa jangkitan Covid-19 akan dijangka terus meningkat pada akhir tahun ini sepertimana amaran yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham dan seorang doktor yang bertugas di Hospital Sungai Buloh melalui ciapan beliau di laman Twitter beberapa hari lalu.

Mengikut data Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 2.5 juta kes terkumpul telah direkodkan dan kes kematian adalah sebanyak 30,002 sehingga 21 November 2021.

Walaupun kadar vaksinasi bagi golongan dewasa telah mencecah hampir 100 peratus, namun kes jangkitan akan terus menunjukkan peningkatan jika orang ramai tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan tidak mengambil dos penggalak yang telah disarankan oleh KKM.

Negara-negara Eropah juga sedang mengalami nasib yang sama iaitu peningkatan kes jangkitan dalam kalangan rakyat mereka. Di Jerman, kes jangkitan terbaharu telah mencecah 50,000 kes dan Belgium pula telah memgumumkan langkah terbaru bagi mengawal penularan wabak Covid-19 serta menggesa rakyat mereka untuk bekerja dari rumah.

Negara Britain juga telah mengeluarkan arahan supaya mewajibkan semula rakyat mereka untuk memakai pelitup muka dan mengamalkan jarak sosial ditempat awam.

Kerajaan perlu berpegang kepada Perjanjian Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah ditandatangani bersama Pakatan Harapan (PH) pada 13 September yang lalu supaya tidak berlaku PRU sehingga tahun 2023.

Perjanjian ini diadakan supaya kestabilan politik negara dapat diperbaiki dan tidak berlaku lagi peralihan kuasa di peringkat Persekutuan.

PRU-15 tidak sepatutnya menjadi fokus utama buat masa kini. Kerajaan seharusnya mempersiapkan diri dengan merangka rancangan untuk menurunkan kes jangkitan wabak Covid-19 yang dijangka akan meningkat kelak supaya kesihatan dan pendapatan rakyat terus terjamin.

Masih ramai rakyat yang sedang berusaha dan bergelut untuk mencari sumber pendapatan yang stabil bagi menampung kehidupan harian mereka.

Jangan ulangi sejarah PRN Sabah tahun lalu yang memberi impak yang besar kepada negara menyebabkan kes jangkitan wabak Covid-19 meningkat secara mendadak sehingga menyebabkan beribu-ribu nyawa rakyat menjadi korban akibat kerakusan dan ketamakkan kuasa oleh pemerintah.