Malaysia Dateline

Bukan masa untuk pilihan raya, kata PH Johor

Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tetap dengan pendirian bahawa pada ketika ini sebenarnya bukan masa yang sesuai untuk pilihanraya.

Kenyataan itu memaklumkan ketidak sesuaian Pilihanraya Negeri (PRN) Johor diadakan di saat virus covid, Omicron, bencana banjir, isu ekonomi dan sebagainya yang sedang dihadapi rakyat Johor.

“PH Johor juga melihat tindakan mencetuskan PRN oleh Umno sebagai helah untuk ambil kesempatan ketika ramai rakyat di negeri ini yang berhadapan kesukaran untuk pulang mengundi.

“Kerana itulah PH Johor sebagai blok pembangkang terbesar di Dewan Negeri telah memberikan kerjasama agar pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik. Penggal pentadbiran berbaki kurang lebih setahun sahaja lagi. Mengapa tidak boleh tunggu sehingga keadaan kesihatan dan ekonomi lebih stabil?

“Kami juga cukup yakin inilah kerisauan, hasrat serta nurani rakyat biasa pada ketika ini. Bahkan pelaksanaan pilihanraya negeri yang bakal menelan belanja sekurang-kurangnya RM150 juta adalah suatu pembaziran wang rakyat. Malangnya, UMNO tidak empati kepada rakyat yang sedang berada dalam keadaan sukar.

“Ini adalah pilihanraya yang dipaksakan dan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat. Apa pun, PH Johor akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mempersiapkan diri berhadapan situasi ini,” jelas kenyataan berkenaan.

Kenyataan bersama itu turut ditanda tangani oleh Pengerusi PH Johor yang juga merupakan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.