Bukan membazir pengguna Tik Tok belanja RM60,000 siapkan 120 baju raya anak-anak, isteri

Oleh NASUHA RAHMAN

Seorang pengguna Tik Tok sanggup membelanjakan kira-kira RM60,000 untuk membeli kain bagi menjahit sendiri 120 pasang baju raya sempena Aidilfitri tahun ini.

Pakaian itu dijahit khusus untuk dirinya, isteri, Fatin Syazwani Ishak, 25, juga dua anak mereka iaitu Syed Muhamad Nouis Jaeden El-Alawi, 4, dan Sharifah Haifa Urshia El-Zahrah yang baru berusia tiga bulan dengan setiap seorang akan menggayakan 30 pasang baju raya sepanjang Syawal.

Syed Muhammad Shah Hasif, 31, berkata beliau bukan membazir bahkan kerana bekerja kuat selama ini untuk kongsi rezeki dengan isteri dan anak jadi mahu sentiasa menggembirakan mereka

Beliau berkata kegigihannya menyiapkan persalinan untuk keluarga terutama isteri tercinta juga mendapat perhatian netizen selepas dia memuat naik video berkenaan di TikTok miliknya @syed.fatin.jaeden.haifa.

“Ia adalah tahun keempat dia menyiapkan baju raya untuk keluarganya sejak 2020 dan sudah membuat persiapan sebelum Ramadan lagi.

“Pemilihan dan pembelian kain dibuat enam bulan sebelum Aidilfitri dan kesemua baju raya itu siap sepenuhnya awal Ramadan lalu.

“Tahun ini, bajet agak tinggi sedikit kerana menggunakan kain renda, chiffon, songket, brocade, valentino, sequin dan lain-lain lagi yang berkualiti tinggi.

“Rekaan baju dihasilkan juga berbeza berbanding tahun sebelum ini terutama pada raya pertama kerana menggunakan kain renda, bunga tiga dimensi (3D) dan lampu sebagai elemen untuk menyerlahkan penampilan pakaian kami sekeluarga,” katanya.

Biarpun berbelanja besar Syed Muhammad Shah Hasif menganggap pelaburannya berbaloi dan bukan sia-sia.

“Jadi, saya sangat gembira apabila melihat anak dan isteri sarung pakaian yang saya buat saya hingga hilang segala penat selepas menjahit semua pakaian mereka.

“Isteri juga puji usaha saya ini kerana semua pakaian selesa dan senang untuk digayakan walaupun ada rekaan yang ringkas serta keterlaluan,” katanya dipetik Harian Metro.

Selagi termampu, Syed Muhammad Shah Hasif berkata, dia akan menyiapkan lagi baju raya untuk keluarganya pada tahun akan datang.

“Kain untuk jahit baju raya tahun depan sudah dibeli ketika jualan murah semasa Ramadan lalu dan teruja nak hasilkan rekaan yang lain pula,” katanya.

Baca juga: Apa rahsia wanita Thailand kulit cantik, halus, mulus tak sangka ini rupanya