Malaysia Dateline

Bukan minta putus hubungan diplomatik tapi bersolidariti untuk Palestin

Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, sekali lagi menegaskan bahawa tindakan menarik diri dari Ekspo Dubai 2020 sama sekali tidak bermakna Malaysia perlu memutuskan hubungan diplomatik dengan rakan perniagaan lain.

Katanya, kenyataan emosi Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim adalah keterlaluan dan jauh menyimpang dari kenyataan AMANAH yang sama sekali tidak pernah mencadang perkara berkenaan.

“Kami bukan meminta Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Dubai atau mana-mana negara, kami hanya menuntut kerajaan menunjukkan solidariti dengan rakyat Palestin.

“Ahmad Amzad sepatutnya tidak emosi. Bertindaklah lebih matang dan rasional mengeluarkan kenyataan sebagai Timbalan Menteri.

“Pandangan saya dan AMANAH bukan berseorangan tetapi disokong oleh sekurang-kurangnya 49 pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 15 Disember lalu, Ahmad Amzad dalam satu wawancara mempersoalkan desakan AMANAH agar kerajaan menarik diri dari menyertai Ekspo Dubai 2020, susulan penyertaan Israel sehingga Palestin memutuskan untuk menarik diri dari menghadiri majlis berkenaan.

Timbalan Menteri Pas itu juga berkata, adakah jika Pakatan Harapan (PH) memerintah, gabungan itu akan memboikoit semua negara yang mempunyai hubungan dengan Israel.

“Jika kita mahu memboikot (memutuskan hubungan) semua negara yang punya hubungan dengan Israel, bagaimana dengan China, Australia, Singapura atau negara Islam lain seperti Mesir, Jordan…kita boikot kah?,” soalnya.

Sementara itu, Kamarul mengingatkan bahawa Malaysia pernah memboikoit Olimpik Moscow 1980 kerana serangan Russia ke atas Afghanistan.

Namun katanya, Malaysia tidak pernah memutuskan hubungan diplomatik dengan negara lain yang menyertai olimpik tersebut.