Bukan Najib saja, kepimpinan bahagian Umno juga perlu undur

Umno yang sudah rosak teruk perlu perubahan total untuk hidup kembali.

Ketua-ketua bahagian Umno juga patut mengambil tanggungjawab kekalahan mereka dengan meletakkan jawatan sebagaimana Datuk Seri Najib Razak.

Bagi bekas ahli-ahli Umno yang kini menyertai Bersatu, bukan Najib saja yang salah tetapi ketua-ketua Umno bahagian yang sebelum ini gelap mata, tamak, tukang ampu dan bodek, sombong, angkuh serta riak harus dinyahkan sekiranya Umno ingin mentransformasikan ke arah yang lebih baik.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang, Muhammad Shameer Mohamed Sulaiman.

Bagi beliau, desakan lantang Pemuda Umno Pulau Pinang supaya Najib melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno boleh diibaratkan umpama ‘meludah ke langit, terkena ke muka jua’

Menurut beliau lagi, perumpamaan tersebut amat sesuai kerana pimpinan Umno Pulau Pinang khususnya Pergerakan Pemudanya tidak wajar hanya menyalahkan Najib sebagai punca utama kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) baru-baru ini.

Sebaliknya kata Shameer, tindakan mereka ibarat ‘nasi sudah menjadi bubur’.

“Sebelum ini Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa lagi bekas tokoh Umno telah pun menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Najib yang melibatkan skandal serta rasuah yang terpalit keatasnya.

Shamer…Umno angkuh tidak akui kelemahan selama ini.

“Namun begitu tidak ada sesiapa pun di kalangan pimpinan Umno maupun Pergerakan Pemuda menyuarakan pandangan serta kebimbangan mereka.

“Sebaliknya mereka lebih gemar mengutuk sekeras-kerasnya teguran yang dibuat oleh bekas-bekas tokoh Umno atas dasar tidak setia atau wala’ kepada Najib dan dituduh sebagai pengkhianat bangsa, ” ujarnya lagi.

Malah tegasnya lagi, sebelum PRU ke 14 diadakan Najib telah tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri kerana ia telah mempopularkan Malaysia dengan gelaran tercalar iaitu kleptokrasi.

“Persoalannya di sini, dimana letaknya kesetiaan atau wala’ pimpinan Umno maupun Pergerakan Pemuda Pulau Pinang kini.

“Kenapa setelah BN kalah kepada Pakatan Harapan (PH) barulah mereka ingin menyuarakan rasa tidak puas hati yang begitu memuncak.

“Pada hakikatnya parti Umno sendiri telah rosak dan dirosakkan oleh pimpinan mereka sendiri, ” jelasnya.

Sehubungan itu tegasnya, bukan hanya pemimpin Umno nombor wahid sahaja perlu ditukarkan, seharusnya seluruh kepimpin di peringkat pusat, bahagian serta kepimpinan sayap juga mesti insaf dan cermin diri.

“Andainya hanya presiden mereka sahaja yang melepaskan jawatan, tetapi Umno masih mengekalkan mereka yang lain diperingkat negeri, bahagian dan sayap, selamanya Umno tidak akan mendapat sokongan dari rakyat.

“Sebagai pimpinan Pemuda PH, maka peringatan ini harus dijadikan sempadan kepada pimpinan maupun Pergerakan Pemuda Umno untuk berubah.

“Jika mereka masih lagi ditakok lama yang penuh dengan pelbagai sifat mazmumah maka, ia harus diterjemahkan dengan lebih baik dengan mentransfomkannya kepada sifat mahmudah, ” katanya lagi.

Dalam PRU baru-baru ini, Umno Pulau Pinang turut kalah teruk dengan hanya berjaya menang 2 kerusi Dun serta 2 kerusi Parlimen sahaja.

Prestasi buruk tersebut sepatutnya dirasai oleh pimpinan Umno Negeri Pulau Pinang, Pemuda Umno Negeri serta bahagian dengan turut melepaskan jawatan dan berundur dengan segera bagi memberi peluang kepada barisan baru untuk mengemudi Pulau Pinang dan juga bahagian.

Sebelum ini Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim, Setiausaha BN Negeri, Datuk Omar Faudzar serta Ketua Pemuda Umno Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin turut mendesak Najib supaya berjiwa besar dengan mengosongkan jawatan beliau bagi memberi laluan kepada kepimpinan yang lebih muda dan berupaya.