Bukan peguam perusuh kuil tapi dilantik syarikat pemaju

Bukan peguam perusuh kuil tapi dilantik syarikat pemaju

Peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla menafikan pihaknya mewakili kumpulan perusuh di kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya, Selangor awal pagi, 26 November lalu.

Beliau dan Muhammad Rafique Rashid Ali menegaskan mereka merupakan peguam rasmi yang dilantik syarikat pemaju One City Development Sdb Bhd berhubung isu kekecohan tersebut.

Haniff pada sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini mendakwa wujud salah faham apabila ada pihak mendakwa mereka mewakili kumpulan perusuh.

“Kami adalah peguam rasmi yang dilantik One City untuk dua pegawai kanan dan seorang pekerjanya yang ditahan,” jelasnya.

Beliau berkata One City melantik mereka pada malam pertama selepas kekecohan berlaku di kuil tersebut iaitu pada hari Isnin lalu.

“Saya kena tegaskan ini, kami mewakili pekerja One City yang tidak semestinya berada di tempat rusuhan malam itu.

“Dan tugas kami adalah mewakili One City dan melindungi kepentingan mereka sebagai anak guam. Kami juga membantu anak guam kami untuk berdepan dengan siasatan polis, dan menasihati dari sudut perundangan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Haniff berkata, tempoh tahanan reman anak guamnya iaitu dua pegawai kanan pemaju itu dilanjutkan sehingga Sabtu ini.

Loading...

Sementara itu, Muhammad Rafique mewakili seorang pekerja One City yang dijangka akan tahan reman sehingga hari ini.