Malaysia Dateline

“Bukan pembangkang yang gagalkan belanjawan, tetapi kerajaan sendiri”

Ahli Parlimen Kulai (DAP), Teo Nie Ching berpandangan sekiranya Belanjawan 2021 gagal diluluskan esok, ianya bukan disebabkan pembangkang yang menggagalkannya.

Sebaliknya beliau menegaskan, ia kerana sikap kerajaan sendiri yang tidak meyakinkan ahli ‘backbenchers’ pembangkang untuk memberi sokongan.

Menurutnya, sepanjang perbahasan berlangsung selama tiga minggu, kerajaan tidak membuat sebarang ‘engagement’ bersama ‘backbenchers’ pembangkang untuk menjelaskan perkara yang dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

“Sebenarnya dalam pandangan saya, bukanlah pmbangkang yang akan gagalkan Belanjawan 2021 kerana kita pembangkang dan kita tidak cukup nombor.

“Untuk kerajaan meluluskan belanjawan ini, sebenarnya mereka perlu pastikan dapat sokongan dari backbenchers mereka sendiri.

“Tak perlu tunggu sampai Menteri Kewangan buat penggulungan. Apabila kita kemukakan cadangan, takkan kerajaan tak boleh mulakan bagi maklum balas dengan ‘backbenchers’ supaya kita tahu ke mana hala tuju kita,” katanya dalam temubual bersama Astro Awani semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Karang (Umno), Tan Sri Noh Omar berkata, buat masa ini kerajaan melalui Menteri Kewangan sudah bertemu dengan ‘backbenchers’ kerajaan dan menerangkan hujah-hujah dalam Belanjawan 2021.

Menurutnya, kerajaan sedang berusaha mendapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen dari kerajaan sendiri dan dengan itu sekiranya pembangkang tidak menyokong pun, belanjawan boleh diluluskan.

“Sepanjang (minggu) berbahas, Menteri Kewangan sendiri telah memanggil kami menerangkan apa hujah-hujah itu. Itu cara dia nak meyakinkan ‘backbenchers’.

“Kerana kalau backbenchers ini bagi sokongan kukuh, pembangkang tak sokong pun belanjawan tetap akan lepas. Cuma apa yang saya risau ‘backbenchers’ tak sokong,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno itu lagi.