Malaysia Dateline

‘Bukan pentaksub parti, jadilah hamba Tuhan di masjid’

Zolkharnain Abidin

Semangat politik kepartian melampau perlu diketepikan apabila berada di dalam masjid kerana semua manusia tarafnya hanya hamba Allah.

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional, Ustaz Zolkharnain Abidin berkata, identiti parti perlu ditinggalkan di luar masjid agar tidak tergolong dalam kumpulan pentaksub politik.

“Di masjid, jadilah hamba Tuhan, bukan pentaksub parti. Sangkutlah parti di pintu pagar masjid. Keluar (masjid), ambillah balik,” katanya.

Bekas Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu berkata demikian mengulas komentar seorang pengguna Facebook kononnya ahli AMANAH tidak ke masjid melainkan hanya pada solat Jumaat.

Mohd Masri mendakwa hal itu penyebab orang AMANAH tidak memegang jawatan utama di masjid yang dikuasai Umno atau Pas.

Sehubungan itu, Ustaz Zolkharnain secara sinis menjelaskan perbezaan orang AMANAH dan Pas berhubung hal ibadat.

“Orang AMANAH pergi masjid bukan sebagai orang AMANAH tapi sebagai hamba Tuhan.

“Orang Pas masuk kubur pun masih orang Pas. Sebab itu kena hafal nombor ahli,” selorohnya lagi.