Malaysia Dateline

Bukan RM30 juta tetapi RM38.5 juta baiki rumah PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad memgesahkan kos keseluruhan projek menaik taraf Kompleks Seri Perdana adalah RM38.5 juta bukannya RM30 juta yang diwar-warkan sebelum ini.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, kerja-kerja membaik pulih dengan kos sebanyak itu termasuklah penggantian sistem pendawaian elektrikal dan kebocoran atap Kompleks Seri Perdana.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pertanyaan jawab lisan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, mengenai status projek menaik taraf Kompleks Seri Perdana.

“Pertanyaan lisan Ahli Parlimen Pokok Sena pada 27 September 2021 di Dewan Rakyat, telah dijawab secara bertulis oleh saya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan bukan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan tindakan kerajaan membelanjakan RM30 juta untuk ubah suai kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana merupakan satu pembaziran.

“Kenapa kerajaan suka bazir duit untuk pejabat dan kediaman rasmi ni? Sampai RM30 juta?

“Orang tengah susah, lapar dan sakit! Beribu perniagaan kena tutup, orang bankrap, student tak boleh bayar yuran universiti. Bantulah mereka,” katanya dalam hantaran di twitter.

Untuk rekod Kompleks Seri Perdana yang dibina pada tahun 1997 dan siap sepenuhnya pada tahun 1999, adalah kediaman rasmi kerajaan untuk Perdana Menteri Malaysia.

Berikutan usia Kompleks Seri Perdana telah mencecah 22 tahun, ia telah mengalami banyak kerosakan.

Projek naik taraf ini telah diluluskan pada 19 Mac 2021 dan kerja-kerja bermula pada 29 Mac 2021. Ia dijangka siap pada 7 Disember 2021.

Setakat hari ini (29 September 2021), kerja-kerja baik pulih telah mencapai 74% kemajuan, berbanding 71% seperti dalam jadual.