Bukan saja lawan BN tapi seluruh jentera kerajaan

Bukan saja lawan BN tapi seluruh jentera kerajaan

Kekalahan Amanah yang mewakili Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar semalam berpunca daripada ketidakadilan sepanjang tempoh kempen.

Ketua Pemuda Amanah, Sany Hamzan berkata, parti itu yang baru berusia sembilan bulan terpaksa berdepan dengan BN bersama seluruh jentera kerajaan.

“PRK yang tidak adil dan bersih. Terang-terang depan mata, jentera kerajaan dan media diguna oleh Umno-BN utk memenangkan calon mereka,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau memberitahu, terdapat juga pertukaran pusat pengundian yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti berlaku di Kuala Kangsar semalam.

“Pertukaran dibuat tanpa pengetahuan pengundi baik dalam Kuala Kangsar itu sendiri atau di luar dari Kuala Kangsar yang menyulitkan proses pengundian,” ujarnya.

Menurut Sany lagi, keadaan diburukkan lagi dengan sentimen kaum kononnya menggambarkan Melayu terancam jika barisan pembangkang menang pilihan raya.

“Isu perkauman dimainkan oleh Umno-BN bagi menakut-nakutkan pengundi Melayu dengan DAP,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, pemerhatian Malaysia Dateline di Parlimen Sungai Besar semalam mendapati salahguna peralatan milik kerajaan oleh BN juga berlaku pada hari pengundian.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Utama misalnya, perkhidmatan kereta ‘buggy’ oleh SPR dilihat didominasi penggunaannya oleh peraih undi BN.

Inisiatif yang difahamkan diperkenal pertama kali oleh SPR itu bertujuan untuk membawa pengundi warga emas dan kurang upaya ke tempat pembuangan undi.

COMMENTS

Wordpress (0)