Bos Mydin dedah rahsia kejayaan perniagaan, “pilih isteri yang betul..”

Oleh NASUHA RAHMAN

Bukan hanya pandai bercakap soal harga barang malah Ameer Mydin pun boleh bercakap soal rumah tangga dau tambah pula kejayaan yang dibina pasti ada orang disebaliknya.

Kejayaan sememangnya tidak akan jatuh bergolek tanpa sebarang usaha, pastinya ia memerlukan pengorbanan dan sokongan dalam menempuh liku-liku yang dihadapi sehingga berada di puncak kejayaan.

Begitulah yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin sewaktu mengungkap rahsia disebalik kejayaannya dalam satu temubual bersama pihak penyiaran radio.

Beliau berkata, mengahwini pasangan yang tepat merupakan kunci dalam bidang keusahawanannya.

Ujarnya, kejayaan yang dikecapi kini bukanlah berasal dari titik peluhnya seorang diri, melainkan ada sosok tubuh yang sentiasa menjadi tulang belakangnya.

“Kejayaan seseorang usahawan bergantung kepada siapa dia berkahwin, dengan wanita atau lelaki yang tepat. Hal ini kerana anda memerlukan sokongan daripadanya.

“Dia perlu sentiasa berada di sisi dan dia adalah orang yang sanggup berkorban untuk segalanya,” katanya.

“Dalam buku MYDIN: The Untold Story sebenarnya dia ( Datin Wira Dr. Hajah Siti Hawa Mohd) yang telah menulisnya. Tetapi anda dapat lihat gambar saya pada bahagian kanan.

“Semua orang berkata, Wah, awaklah orangnya! Sebenarnya tidak, saya bukanlah lelaki itu. Ada seorang wanita bersama saya yang menulis buku itu,” katanya.

“Bukan Berjalan Di Belakang Tetapi Melangkah Bersama”

“Isteri saya juga berkata dia tidak berada di belakang saya, tetapi dia sentiasa seiring bersama saya,” katanya lagi.

Beliau turut berkata demikian dalam satu hantaran di platform media sosial Facebook.

“Berkahwin dengan orang yang betul. Berkemahiran, berpengetahuan dengan idea-idea dan pelbagai pemikiran kritis. Dalam masa yang sama tegas dengan pendirian dan mempunyai daya tahan untuk kejayaan dalam bidang keusahawanan.

“Seorang pasangan yang sentiasa menyokong dan penyayang sepanjang mengharungi perjalanan merupakan sebahagian daripada faktor kejayaan dalam bidang keusahawanan,” tulisnya.

Untuk makluman, MYDIN pertama kali ditubuhkan pada tahun 1957. Syarikat ini merupakan sebuah syarikat halal terbesar dengan reputasi kukuh dalam industri runcit negara.

Ia telah diasaskan oleh Allahyarham Tuan Mydin Mohamed. Lebih enam dekad, MYDIN terus menyediakan perkhidmatan yang sesuai untuk orang ramai.

Baca juga: Gadis cantik dari Vietnam fasih cakap Melayu buat orang ramai teruja