Malaysia Dateline

‘Bukan saja-saja nak puji Menteri Pertanian’

Rombongan PAKSI bertemu Datuk Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Infustri Asas Tani. PAKSI disertai oleh Dinsman, Yassin Salleh, Hasni Abas dan Mohd Nasser Mohamed.

Saya ingin ceritakan satu peristiwa yang saya alami pada hari Sabtu 15 Jun yang lalu. Berhubung dengan budaya kerja pegawai-pegawai kerajaan khasnya di zaman atau musim yang sedang bergelora dengan pelbagai kekeliruan ini.

Saya tahu hari itu hari Sabtu, hari pejabat-pejabat kerajaan tidak bekerja. Tetapi saya sengaja menghubungi seorang pegawai di pejabat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sdr Sulaiman Kayat (SUSK), untuk satu urusan yang saya harap dia akan lakukannya secepat-cepat pun hari Isnin nanti.

Rupa-rupanya tidak. Dia terus lakukannya pada hari itu juga. Dan semua yang terlibat ekoran daripada itu pun turut melakukannya hari itu juga. Saya terkejut. Saya tanya anak saya: Hari ini hari apa? Kenapa pegawai-pegawai kerajaan itu bekerja hari ini?

Biar saya ceritakan. Begini:

Rabu 12 Jun, Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) berjumpa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, di pejabatnya di Putra Jaya, atas urusan satu perkara, iaitu memohon pihak Kementerian membantu kami hendak “mensawah-padikan” Dataran Merdeka, bagi keperluan pementasan Teater di Sawah Padi (TdSP) “Muzika Uda Dan Dara” yang dibuat berdasarkan naskah Usman Awang, dijangka pada akhir tahun ini.

Menteri berkenaan, Datuk Salahuddin Ayub, menyambut kami dengana keramahannya yang biasa. Ini kali kedua perjumpaan PAKSI dengan beliau setelah menjadi menteri. Kali pertama dia datang ke tempat kami di IDE, Shah Alam. Kali ini kami ke pejabatnya, dan duduk berkeliling di meja kerjanya.

Sebelum berbincang hal teater, (yang pernah kami bincang dalam pertemuan pertama dulu – dia masih ingat), kami bercakap juga mengenai gejala “inklusif” yang pernah saya anggap sebagai “penyakit” yang dihidapi oleh kebanyakan menteri Pakatan Harapan sekarang; yang memberi banyak masalah yang tak disedari oleh menteri-menteri berkenaan.

Alhamdulillah, Datuk Salahuddin nampaknya memahami perkara tersebut, dan meminta agar kami tidak segan-segan menegurnya kalau didapati dia melakukan perkara-perkara yang patut ditegur. Seperti telah saya tulis dalam fesbuk, saya percaya permintaannya itu ikhlas kerana sebelum menjadi menteri pun dia pernah dengan sengaja menelefon saya meminta saya menegurnya secara peribadi kalau ada apa-apa yang perlu ditegur.

Semoga dia tidak berubah dalam hal itu setelah menjadi menteri dan memiliki kuasa.

Balik kepada urusan kami menemuinya itu – setelah berbincang lebih kurang hal “mensawah-padikan Kuala Lumpur” itu, dia menyatakan persetujuannya dan langsung mengarahkan pegawainya supaya memperkenalkan kami dengan pihak MARDI, yang boleh membantu kami dalam urusan berkenaan. Sdr Sulaiman, pegawainya berkenaan, berjanji memperkenalkan kami bila-bila yang kami memerlukan.

Esoknya Khamis 13 Jun, saya dan Nasser Mohamed bersama Datin Sunita dari KL Divercity (penerbit teater TdSP MUDD) bermesyuarat dengan pihak DBKL berkenaan pementasan teater berkenaan. Isu utama ialah bagaimana “mensawah-padikan” Dataran Merdeka dan bilakah tarikh yang Dataran Merdeka boleh digunakan untuk pementasan ini, serta tarikh-tarikh tempoh bagi dataran itu menjadi “sawah-padi sementara” tersebut.

Sabtu 15 Jun, 10.40 pagi saya mesej Sulaiman melalui watsap: “Salam. Ekoran pertemuan dengan Menteri hari itu, kami perlu berjumpa pihak MARDI yang tahu bagaimana nak “tanam padi di Dataran Merdeka” untuk teater Uda&Dara. Mohon tuan tolong kenalkan kami dengan pihak MARDI tersebut!”

Sulaiman segera menjawab (jam 11.01) yang dia akan aturkan. Kemudian pada jam 11.51 dia mesej kepada saya nombor ceo Mardi Corp, Sdr Rozali, untuk saya hubungi. 12.11, saya berikan nombor itu kepada Nasser, selaku Penerbit Eksekutif teater ini, untuk dia hubungi ceo Mardi Corp tersebut.

Petang itu jam 2.28 saya terima watsap daripada Rozali ceo Mardi Corp, mengatakan dia sudah terima mesej daripada pejabat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, mengenai perkara berkenaan, dan telah mengarahkan Ketua Pegawai Operasi (coo) MAEPS, anak syarikat Mardi Corp yang berkenaan, untuk hubungi saya.

Tak lama kemudian, 2.55 ptg, puan Nora, coo Maeps, menelefon saya dan kami berbincang mengenai perkara berkenaan. Di hujung perbincangan dia mengatakan bahawa apa yang kami perlukan itu boleh disediakan oleh pihak Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Pasir Panjang, dan dia akan minta Sdr Zul dari LPP itu menghubungi saya. Nombor telefon Zul juga diberikannya kepada saya.

Lewat petang Sabtu itu Zul menelefon saya, dan kami bercerita mengenai perkara menanam padi atau mengubahkan pokok-pokok padi yang sudah ditanam, ke Dataran Merdeka. Dan untuk saling memahami kehendak dan keperluan masing-masing secara lebih sahih, kami berjanji untuk bertemu di Sekinchan, dalam waktu yang terdekat.

Demikianlah satu peristiwa kecil dalam terlalu banyak peristiwa yang lebih kurang sama begitu, yang mungkin adalah peristiwa biasa yang menjadi rutin bagi sesetengah pihak, tetapi saya melihatnya sebagai satu peristiwa yang sangat penting dan mustahak untuk dirakamkan

Apabila saya muatnaik cerita tersebut ke fesbuk, ramai netizen yang menyatakan bahawa itu adalah perkara yang jarang-jarang berlaku.

Saya mohon maaf kepada pihak-pihak yang terlibat itu khasnya mereka yang saya sebut namanya tanpa pengetahuan mereka, yang mungkin ada yang tak suka namanya disebut. Saya bukanlah sengaja suka-suka menyebut untuk memenuhi ruang tulisan saya. Tetapi saya menyebutnya kerana saya menganggapnya sesuatu yang baik, sesuatu yang patut menjadi teladan, terutamanya di musim kekeliruan yang orang ramai seperti kehilangan panduan yang boleh diteladani dan diikuti.

Awal-awal era Pakatan Harapan mengambil alih jawatan-jawatan menteri dulu saya sering mendengar rungutan kawan-kawan yang sukar hendak membuat temujanji hendak berjumpa menteri. Pengalaman saya yang terbaru ini, alhamdulillah, sangatlah mudah. Tak ada masalah pun.

Namun, dalam memuji seorang menteri ini, tak lupa juga saya menyebut bahawa ada beberapa orang menteri lagi, yang telah membuat pertemuan dan perbincangan dengan PAKSI, berbulan-bulan sudah, sampai sekarang belum ada tanda-tanda bahawa cadangan-cadangan yang telah ipersetujui itu akan dilaksanakan.

Ha!.. Nampak tak kewajaran mengapa catatan di atas itu patut ditulis dan dibaca. Saya bukan saja-saja nak puji Salahuddin lah! Saya puji dia kerana memang ada kewajarannya dan bahkan ada keperluan untuk itu. Wassalam!