Bukan saja Zahid Hamidi, lima nama ahli politik ini pun saksi ‘petik’ terima duit dari syarikat kendali sistem visa

Oleh ARIF ATAN

Bukan saja Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, seorang bekas pengurus pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberitahu lima nama ahli politik lain yang juga menerima duit daripada syarikat yang mengendalikan sistem visa luar negara (VLN) untuk pelancong China itu.

David Tan Siong Sun, 47, memberitahu Mahkamah Tinggi kelmarin, nama mereka terbabit dicatatkan dalam fail lejar syarikat itu yang terdiri daripada “menteri, ahli politik dan penjawat awam”.

Untuk rekod, projek UKSB di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan syarikat itu dilantik oleh kerajaan pada 2016.

Dalam perbicaraan kes rasuah Presiden Umno itu, Siong Sun turut menafikan dia dan bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun serta seorang lagi bekas Pengarah UKSB, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani berkonspirasi melakukan kesalahan jenayah iaitu pengubahan wang haram, rasuah, pecah amanah dan mengelak membayar cukai.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-15, Harry Lee Vui Khun memberitahu mahkamah bahawa catatan ‘KJ’, dan bomoh antara perkataan yang tertera di dalam buku ‘faraid’ UKSB yang dikemukakan dalam perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid.

Buku faraid UKSB yang juga dikenali sebagai Buku 555 dalam perbicaraan kes Ahmad Zahid yang dibicarakan atas 33 tuduhan rasuah, adalah lejar yang mencatatkan bayaran oleh UKSB kepada sejumlah individu antara 2014 dan 2018.

Lima nama ahli politik yang kena ‘petik’ itu ialah:

  1. Tan Sri Muhyiddin Yassin

Ahli politik yang popular dengan panggilan ‘Abah’ ini dikatakan menerima RM1.3 juta antara Jun dan Ogos 2018.

Ketika itu Muhyiddin ialah Menteri Dalam Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Siong Sun memberitahu Ahli Parlimen Pagoh itu menerima sumbangan wang tunai RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 (4 Julai 2018) dan RM500,000 (23 Ogos 2018).

Saksi pendakwaan ke-17 itu juga berkata, kod nama ‘TSM’ dalam lejar ialah Tan Sri Muhyiddin, manakala ‘Team Pagoh’ adalah nama projek.

Walau bagaimanapun, Muhyiddin semalam telah menafikan pernah menerima sebarang wang tunai daripada UKSB.

Beliau mendakwa keterangan saksi itu sebagai palsu. Jelasnya, sepanjang tempoh beliau didakwa menerima wang tunai dari UKSB itu, beliau sedang menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.

Muhyiddin berkata, adalah sangat mustahil beliau menerimanya secara tunai sedangkan dia sedang bercuti untuk rawatan cancer di luar negara.

Mohd Shafie Apdal
  1. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

Ketika itu dia merupakan Ketua Menteri Sabah. Presiden Parti Warisan (Warisan) berkenaan diletakkan kod nama ‘MOR’ dalam buku ‘faraid’ UKSB itu.

Reezal Merican Naina Merican
  1. Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

Ketika itu, dia Timbalan Menteri Luar. Kini, dia Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Siong Sun berkata Reezal Merican menerima dana antara RM200,000 hingga RM300,000 secara sekali daripada UKSB.

  1. Datuk Seri Anifah Aman

Bekas Menteri Luar itu direkodkan dengan kod nama sebagai “FM”. Anifah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pernah dibatalkan kemenangannya di Parlimen Kimanis selepas Mahkamah Pilihan Raya mendapati wujud unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

  1. Khairy Jamaluddin

Catatan ‘KJ’ antara perkataan yang tertera di dalam buku ‘faraid’ UKSB yang dikemukakan dalam perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi.

Siong Sun mengesahkan Khairy menerima dana politik RM3.7 juta daripada UKSB. Pada 13 Jun lalu, Wan Quoris Shah, 42, berkata Khairy atau KJ ada menerima sumbangan daripada syarikatnya namun pemberian tersebut tidak diberikan secara terus.

Sumbangan yang diberikan UKSB kepada bekas Menteri Belia dan Sukan itu antara RM50,000 dan RM200,000 untuk bantuan politik, bencana serta aktiviti kemanusiaan.

Menurut Wan Quoris, sumbangan itu tidak diberikan secara terus kepada Khairy, sebaliknya disalurkan melalui Umno Bahagian Rembau kerana ketika itu bekas Ketua Pemuda Umno tersebut, adalah Timbalan Ketua Bahagian itu.

“Bantuan politik kepada KJ bukan sahaja di peringkat bahagian, ia juga peringkat nasional kerana ketika itu dia adalah ahli politik peringkat nasional.

“Sebagai contoh jika berlaku bencana dan sebagainya saya akan bantu, untuk program bantuan kemanusiaan, kalau ada Pilihan Raya Kecil (PRK) saya akan bantu juga,” kata Wan Quoris yang juga kenalan rapat kepada Khairy.

Wan Quoris juga berkata sudah pasti untuk KJ yang kini Menteri Kesihatan tiada kaitan dengan kontrak Visa Luar Negara (VLN) dan tiada peruntukan besar untuknya.

Baca juga Kes Zahid Hamidi: Apa maksud dipanggil bela diri?

Baca juga Gigih ubah suai Kelisa jadi Daihatsu, dah kena saman polis