Malaysia Dateline

Bukan salahkan Anwar tapi ambillah pengajaran

Peluang Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan mandat rakyat yang dirampas pada Mac 2020 terlepas lagi.

Pengunduran Mahiddin Md Yassin sebagai Perdana Menteri susulan penarikan sokongan sebahagian Ahli-ahli Parlimen Umno gagal diisi oleh Anwar Ibrahim.

Licik juga Umno bersilat politik. Ia tidak memerlukan masa lama untuk kembali berkuasa. Walaupun kalah dalam PRU-14, sekadar 22 bulan di posisi pembangkang.

Hanya 17 bulan menumpang kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan dengan penuh bergaya menerajui semula Putrajaya.

Sebelum itu juga, Umno tanpa banyak kontroversi merangkul balik kerajaan negeri Johor, Melaka dan Perak. Masa sama, saingan terdekatnya Bersatu hilang Johor, Perak dan Kedah. Umno kelihatan berada di landasan betul untuk kembali dominan dalam politik Malaysia.

Di pihak bertentangan, Anwar nampak seperti “terpedaya” atau “tersilau” dengan “permainan” Umno ini. Sokongan yang dijanjikan tidak juga datang, meskipun Anwar hanya memerlukan tidak sampai pun 10 undi daripada wakil rakyat Umno.

Presiden Umno, Zahid Hamidi dibayangkan seolah-olah masih “budak Anwar” sepertimana situasi 1998 dahulu. Agak pelik jika ada pihak (apatah lagi Anwar atau penasihatnya) boleh percaya Zahid bersedia membantu Ketua Pembangkang untuk menjadi Perdana Menteri.

Hubungan peribadi 

Tanpa mengira seakrab mana pun hubungan peribadi Zahid dengan Anwar dan para pendamping rapatnya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kini adalah Presiden Umno, parti Melayu terbesar yang gigih berusaha untuk kembali berkuasa penuh.

Tempoh hampir 25 tahun sejak Anwar dipecat Umno pastinya telah mengubah banyak senario. Manakala ini bukan kali pertama Anwar dikecewakan (ditipu) Zahid. Sokongan yang dijanjikan tidak pernah datang ketika Anwar amat perlukannya. Namun, ia seperti tiada iktibar yang dipelajari Anwar.

Cukuplah. Cukuplah. Ia sepatutnya menjadi nokhtah terakhir untuk bersilat politik dengan Umno. PH yang dipengerusikan Anwar mesti bingkas membina kekuatan sesama pembangkang.

Masih banyak agenda yang tertangguh untuk memantapkan keutuhan oposisi khususnya selepas kerajaan PH runtuh pada akhir Februari 2020.

Masa sebenarnya sudah cukup suntuk untuk melakukan eksperimen baharu politik. Sudahlah negara diamuk bencana yang dahsyat dan krisis besar berpanjangan.

Kepercayaan rakyat kepada pemimpin politik, termasuk PH, mesti segera dikembalikan. Ia perlukan pendekatan dan strategi lebih segar; tidak mengulangi amalan lapuk.

Konsep Khemah Besar mesti diterjemahkan dengan pantas dan praktikal. Biar nampak kesatuan dan kejujuran pembangkang. Imaginasi rakyat perlu dibersihkan. Sebahagian mereka sudah bosan dan muak dengan gelagat ahli-ahli politik sepanjang dua tahun ini. Rekod PH selama 22 bulan mentadbir dulu pun perlu “didefinisi” semula.

Rasanya ada beberapa kelemahan ketara untuk merealisasikan tuntutan Khemah Besar mahupun konsep “grand coalition” sebelum ini, sehingga hasrat itu agak terbantut. Ada pihak menyifatkan Anwar dan PKR sendiri tidak serius dengan gagasan itu.

Apa pun, mulakanlah episod baharu ini, dengan mengolah segala pengalaman pahit yang dilalui. Kenal siapa musuh, siapa kawan, siapa musang berbulu ayam.

Kepentingan politik sering mewajarkan segalanya; semua tokoh PH berpengalaman luas, masakan mudah terpedaya dan tersilau lagi.

Pendekatan lebih segar diperlukan bagi mengembalikan segera kepercayaan rakyat kepada PH.