Bukan saya nak bertemu tetapi saya dijemput, kata Zahid

Zahid Hamidi bergambar bersama para perwakilan pada Majlis Sambutan Aidilfitri Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor di PWTC malam tadi. 

Selepas dua minggu bertemu dengan Tun Dr Mahathir, Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu bukan dirinya yang mahu berbuat demikian.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berkata, kehadirannya dalam pertemuan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 6 Jun lalu itu adalah kerana memenuhi undangan.

“Bukan saya yang minta bertemu tetapi saya yang dijemput bertemu (Tun Mahathir).

“Saya sebagai Pemangku Presiden yang telah diberikan mandat oleh ahli Majlis Tertinggi dan rakan-rakan dalam BN menggunakan mandat itu bukan sekadar mandat lisan tetapi ikrar yang telah diberi secara bertulis dan ditandatangani.

“Maka, mandat itulah yang saya terjemahkan untuk bertemu dengan Perdana Menteri,” jelasnya ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor malam tadi.

Menjelang Pemilihan Umno pada 30 Jun ini juga, Ahmad Zahid memberitahu tentang permintaan Tun Mahathir supaya kesemua Ahli Parlimen BN terutama Umno memasuki Bersatu.

“Apa yang telah disebutkan oleh Perdana Menteri, antaranya beliau meminta supaya ahli-ahli Parlimen BN khususnya Umno untuk menyertai Bersatu.

“Saya menjawab dengan tegas tidak ada jalan bagi kita untuk menyertai parti berkenaan,” tegasnya serentak disambut tepukan dan sorakan perwakilan di PWTC itu.

     Zahid turut memuat naik sekeping gambar bersama Dr Mahathir di laman sosial Twitter, 6 Jun lalu.

Beliau selanjutnya dilihat menggelar Bersatu sebagai ular lidi manakala Umno diumpamakan ular sawa ekoran pelawaan Pengerusi Bersatu berkenaan.

“Dan saya tidak reda untuk Umno dibubarkan kerana semata-semata untuk mencapai matlamat politik seseorang.

“Mana mungkin kita yang berjumlah 54 orang, mereka (Bersatu) yang mempunyai 13 orang – ular lidi mahu menelan ular sawa,” tegas bekas Timbalan Perdana Menteri berkenaan.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang bertanding merebut jawatan Presiden Umno tersebut berjanji akan mempertahankan Umno-BN.

“Saya berjanji dengan ahli-ahli majlis tertinggi BN bahawa saya harus menjaga jemaah. Saya harus menjaga satu kumpulan yang besar.

“Jemaah saya adalah jemaah Umno. Jemaah saya adalah jemaah BN maka saya harus mempertahankan Umno-BN keseluruhannya.

“InsyaAllah,” katanya lagi yang sebelum itu memberitahu akan menjelaskan situasi pertemuan beliau dengan Tun Mahathir yang dilapor selama lebih 40 minit itu ke seluruh negara.

6.7
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 5.5