Bukan sekadar menyerang tapi PH menerang, kata Sany Hamzan

Bukan sekadar menyerang tapi PH menerang, kata Sany Hamzan

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Sany Hamzan menafikan dakwaan kononnya Pakatan Harapan (PH) lebih banyak menyerang BN pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih.

Sebaliknya, Adun Taman Templer di Selangor itu berkata, kepincangan polisi kerajaan terdahulu perlu diterangkan kerana telah memberi kesan kepada PH akibat ketirisan wang negara.

“Kita kena sentuh pimpinan kerajaan terdahulu. Itu adalah penerangan bukan sekadar menyerang. Contohnya seperti kesukaran untuk melaksanakan beberapa manifesto.

“Ini termasuklah kesan pelaksanaan projek mega yang tidak wajar tapi diluluskan selain beri kepada kroni dan mangsanya tentulah rakyat.

“Itu sebabnya kita memberikan pemahaman keapda rakyat bukannya sekadar menyerang tanpa hujah dan fakta,” jelasnya ketika ditemui Malaysia Dateline di Bilik Gerakan PDM Kantan Permai.

Melalui penerangan sedemikian, kata Sany, rakyat akan menyedari pentingnya memilih kepimpinan yang bebas rasuah kerana pulangannya akan dinikmati akhirnya oleh rakyat.

“Di Pulau Pinang contohnya, banyak manifesto dapat ditunaikan memandangkan negeri itu mempunyai kedudukan ekonomi yang baik.

“InsyaAllah, kita akan pastikan kemewahan negara dapat dikongsi bersama dengan seluruh rakyat,” tambahnya lagi.