Malaysia Dateline

‘Bukan sekali runding, sekali minum kopi sudah selesai’

Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) minggu lalu menjalani beberapa proses rundingan sebelum dimuktamadkan.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, hampir enam kali rundingan melibatkan kedua-dua pihak diadakan dengan masing-masing diwakili dua pemimpin dari parti komponen PH iaitu PKR, AMANAH dan DAP.

“Kita berunding hampir enam kali. Bukan sekali runding, sekali minum kopi sudah selesai.

“Kita teliti ayat demi ayat, terma demi terma, apa yang bakal kita tulis dalam MoU. Ini penting untuk saya beritahu.

“Bukan semalaman saja, selesai (meterai MoU),” tegasnya dalam program bual bicara secara langsung menerusi saluran YouTube, Media Rakyat semalam.

Dimoderatorkan Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan; turut menjadi panel ialah Jawatankuasa AMANAH Nasional, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai tersebut dalam masa sama menegaskan MoU yang merangkumi enam perkara itu bukan rasuah politik dan seumpamanya seperti didakwa pihak tertentu.

“Kita sudah pun mendedahkan kandungan MoU itu. Tiada kerahsiaan. Selepas kita tandatangan, kita umumkan dokumen ini kepada rakyat.

“Biar rakyat, penyokong-penyokong kita (PH), ahli politik dan pengkritik baca. Ayat demi ayat.

“Kita sudah menyatakan dengan jelas walaupun kami tandatangan memorandum ini, ia tidak sesekali mengubah PH,” katanya lagi.