Bukan sekat kebebasan, pindaan akta pastikan Majlis Peguam telus, kata Peguam Negara

Bukan sekat kebebasan, pindaan akta pastikan Majlis Peguam telus, kata Peguam Negara

Keputusan kerajaan meminda Akta Profesion Undang-undang 1976 (Akta 166) bukan sama sekali bertujuan untuk menyekat kebebasan Majlis Peguam daripada terus mengkritik kerajaan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali berkata demikian ketika mengulas dakwaan berkenaan dengan menggunakan pindaan terhadap Akta Hasutan 1948 tahun lalu sebagai contoh kesungguhan kerajaan.

“Sebagai Peguam Negara, saya amat bersetuju dengan keputusan ini (pindaan Akta 166). Setelah tujuh tahun memegang jawatan pegawai dalam Majlis Peguam, saya cukup faham selok-belok ia beroperasi,” ujarnya dalam artikel beliau yang di Berita Harian Ahad semalam.

Menurut Apandi, kerajaan tidak berniat untuk mengawal perjalanan Majlis Peguam sebaliknya mahu badan peguam itu lebih telus dan demokratik berbanding pada masa ini.

“Mempertahankan keadilan tugas mulia, tetapi keadilan untuk siapa?”

“Apakah pendapat Majlis Peguam mewakili sebilangan atau seluruh ahli Bar Malaysia?” soalnya merujuk pada Seksyen 42 (1) (a) dan (d) Akta 166 berkaitan tujuan Bar Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya tidak hairan apabila dimaklumkan terdapat urusan Majlis Peguam dilakukan secara tersembunyi selain wujud ahli Bar Malaysia yang tidak didedahkan dengan perkara tertentu.

Menurutnya, paling menjadi isu dalam Majlis Peguam ialah peruntukan Seksyen 50 (1) Akta 1666 yang menyebut bahawa pemilihan tahunan bagi 12 ahli Majlis Peguam hendaklah dengan undi pos.

“Malang sekali bagi sebuah badan yang menentang penggunaan undi pos dalam sistem pilihan raya negara sebagaimana diperjuangkan oleh Bersih masih menggunakan undi pos dalam pemilihannya sendiri,” ujarnya lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)