Ketika orang ramai mengecam klip video lagu raya ‘sampah’ yang cuba menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), banyak sebenarnya lagu yang bermanfaat dihasilkan sempena Ramadan dan Syawal.
Antaranya, penyanyi Alif Satar dan kumpulannya, The Locos tahun ini sekali lagi merakamkan semula lagu-lagu dendangan Raihan dengan penampilan ikon nasyid negara itu dalam klip video.
Hasil kolaborasi mereka buat kali ketiga kali ini berjaya menghasilkan lima klip video iaitu Bismillah, 25 Rasul, Puji-Pujian & Syukur (medley), Assolatuwassalam dan Rayuan Rindu.
Menariknya, kesemua lagu yang diberi nafas baru itu dimulakan dengan babak lakonan melibatkan Alif, anggota The Locos dan Raihan berupa tazkirah secara santai dengan ada juga yang diselitkan doa dalam tempoh kira-kira seminit hingga dua minit.
Antaranya, dalam klip lagu Puji-Pujian & Syukur, Raihan menyebutkan ‘letak tepi, jangan keji’ jika makanan dirasakan tidak sedap selain mengingatkan tempoh hampir berbuka puasa dan hujan adalah waktu sangat mustajab untuk berdoa.
Setakat hari ini, kesemua klip video tersebut meraih antara 52,000 hingga melebihi 200,000 tontonan sejak mula dimuat naik secara berperingkat di saluran Youtube Alif Satar The Locos sejak 3 April lalu.
Rata-rata komentar warganet mengucapkan tahniah kepada gabungan penyanyi dan pemuzik terbabit atas rakaman semula lagu-lagu mendidik jiwa tersebut.
Jika klip video lagu ‘sampah’ boleh menarik jutaan tontonan berserta kecaman, apa kata sempena hari-hari terakhir Ramadan dan menjelang Syawal ini, kita sama-sama menyokong ‘content’ yang murni lagi segar dan pastikan karya-karya sebegini juga mendapat puluhan juta tontonan.