Malaysia Dateline

‘Bukan seperti lebai Pas borong semua urusan agama letak dalam bakul akidah’

Tidak ada orang Islam AMANAH (saya bercakap atas kapasiti ahli AMANAH) yang lebih sayang orang kafir melebihi orang Islam dalam konteks kepercayaan dan ibadat. Dalam konteks lain, kena baca tulisan ini sampai habis.

Orang Islam AMANAH solat berjamaah di belakang imam Islam, keluar zakat kepada asnaf Islam, menyembelih kerana Allah bahkan lebih banyak bergaul dengan orang Islam berbanding orang bukan Islam.

Syahadah orang Islam AMANAH 100% menyamai syahadah seluruh umat Islam seantero dunia. Tidak pernah ada orang Islam AMANAH yang tunduk dan redha kepada kewujudan Tuhan lain selain Allah.

Isu orang Islam AMANAH terlibat dengan beberapa “upacara” agama lain, atau mengunjungi orang bukan Islam kerana mentakziahi kematian atau sebagainya, hal itu dibuat oleh semua orang Islam, bukan sahaja orang Islam AMANAH.

Pemimpin Islam Pas sendiri pernah terlibat dengan “upacara” agama Hindu, menziarahi kematian penganut Kristian, bahkan al-Marhum Nik Abdul Aziz pernah potong kek sempena ulang tahun kelahiran Karpal Singh.

Tapi semua itu tidak pernah diangkat oleh pentaksub Pas sebagai melebihkan orang bukan Islam ke atas orang Islam. Pernah al-Marhum Nik Abd Aziz potong kek untuk mana-mana menteri Pas yang ada pada hari ini?

Adakah al-Marhum melebihkan orang bukan Islam khususnya Karpal Singh terhadap orang Islam khususnya Idris Ahmad atau Sanusi Md Noor?

Bukankah Karpal Singh bukan Islam dan semua menteri termasuk pentaksub Pas yang ada ini beragama Islam?

Hakikatnya, semua orang tahu, orang AMANAH dituduh melebihkan orang bukan Islam ke atas orang bukan Islam kerana orang Islam AMANAH keluar Pas dan meneruskan hubungan politik dengan DAP. Itu sahaja pokok pangkal dan isu asasnya.

Kalau semua orang Islam AMANAH yang ada ini tidak keluar Pas, dan tentunya tidak menubuhkan AMANAH, dan semestinya menerima beberapa individu tidak kompeten sebagai pemimpin (saya tidak mahu sebut nama mereka) dalam Pas, orang Islam AMANAH tidak akan dituduh sebegitu.

Kalau orang Islam AMANAH turut “beriman” dengan pantun Abdul Hadi di Tanjung Piai, turut akur kepada nafsu besar pemimpin utama Pas yang ada untuk “memeluk erat” kleptokrat kerana mabuk jawatan, tentu aqidah orang Islam AMANAH tidak akan dipersoalkan.

Kalau orang Islam AMANAH berkerat rotan dengan DAP tapi menerima seruan mengundi MCA di Tanjung Piai, orang Islam AMANAH tidak akan dilabel melebihkan orang bukan Islam ke atas orang Islam.

Apatah lagi jika orang Islam AMANAH cium tangan mana-mana senator Pas, atau panggil tuan guru kepada mana-mana lebai Pas, aqidah orang Islam AMANAH pasti akan dicop logo “tulen” tanpa sebarang keraguan. Itu sahaja isu pokoknya.

Kerjasama orang Islam AMANAH dengan DAP adalah kerjasama politik, bukan merestui aqidah yang salah. Sama seperti kerjasama politik Pas dengan MCA. Kami tidak pernah mempersoalkan aqidah orang Pas dalam kerjasama politik mereka dengan MCA.

Bahkan kami tidak pernah berkata orang Pas mengutamakan orang bukan Islam (calon MCA Tanjung Piai – bukan Islam) mengatasi orang Islam (calon PH – seorang imam) sepanjang kempen pilihanraya itu, bahkan sehingga kini. Sebab kami tahu sempadan antara kerjasama aqidah dan kerjasama politik.

Sebab kami bukan seperti lebai Pas yang borong semua urusan agama untuk diletak ke dalam bakul aqidah sehingga menuduh kafir, menuduh gelincir aqidah secara sewenang-wenang. Kami tidaklah “sebiul, sebongok” lebai Pas untuk mainkan isu aqidah dalam pertembungan politik demokrasi.

Kami tidak membaca Surah al-Kafirun dan menafsirnya mengikut selera politik, atau membaca ayat-ayat berkaitan larangan mengambil orang bukan Islam sebagai “pemimpin” di luar konteks atau latar belakang ayat berkenaan.

Kami bukan macam walaun Pas yang jika diberi pencerahan tentang isu agama, tetap taksub kepada Pas dan pemimpinnya meskipun pencerahan itu benar.

Kami bukan macam pemimpin Pas khususnya agamawan parti itu yang sanggup memutar leher nas dan melelongnya dengan harga murah untuk mengabsahkan tindakan jahat politik demi nafsu serakah duniawi.

Kami menjalin hubungan kasih sayang dengan orang bukan Islam DAP, bahkan bersedia menjalin hubungan kasih sayang dengan semua orang bukan Islam merentas kaum dan parti demi kemaslahatan kemanusiaan. Dalam konteks kepercayaan, untuk kamu agama kamu, untuk kami agama kami.

Dalam konteks hubungan kemanusiaan, kamu saudara kami. Kami sayang kamu sebagaimana kami sayang semua orang Islam merentas batas politik, kaum dan agama.

Tapi yalah, mengharapkan pentaksub Pas, walaun Pas seperti lebai buka “pondok” dan berbini lebih satu di Pahang faham dan hadam isu ini dengan jujur, dengan kecerahan akal, samalah seperti mengharapkan lotong di belakang rumah saya faham bahawa, nak makan buah yang tertanam makanlah sekadar kenyang tapi pokok, janganlah dirosakkan.