Bukan seperti Umno, PH hargai peranan Pemuda

Bukan seperti Umno, PH hargai peranan Pemuda

Abbas Azmi

Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Abbas Azmi berpendapat Pakatan Harapan (PH) lebih terbukti menghargai suara dan peranan golongan muda berbanding Umno.

Menurutnya, tiada lagi suara anak muda dalam Umno apabila melihatkan perbezaan pendirian antara Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua Pemuda Umno Selangor, Rizam Ismail.

“Ini tidak berlaku dalam Pakatan Harapan khususnya AMANAH. Faiz Fadzil misalnya dilantik sebagai Pengerusi LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) dan suara orang muda sentiasa diberi perhatian oleh pimpinan PH.

“Begitu juga dengan Syed Saddiq, dengan umur yang cukup muda diberi tanggungjawab menggalas jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan,” ujarnya.

Mengulas reaksi Rizam yang baru-baru ini dilapor menafikan Pemuda Umno tidak walak kepada pemimpin, Abbas berkata, setiap pandangan sayap parti tersebut kepada kepimpinannya dianggap sebagai derhaka.

“Saya melihat tidak ada lagi ruang diberikan kepada Pemuda untuk menyuarakan pandangan. Pimpinan tertinggi Umno tidak menerima suara Pemuda.

“Apabila Rizam memberi pandangannya berkenaan tuduhan ke atas Presiden Umno maka pimpinan utama Umno mengkritik balas kenyataan beliau (Rizam).

“Jelas, menampakkan Pemuda sekarang tiada suara yang kuat dalam Umno. Perubahan yang cuba dilakukan oleh Umno tidak diterima,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Abbas berkata, bukti golongan muda tidak diraikan dalam Umno juga dapat dilihat pada kekalahan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut menawarkan diri bertanding merebut jawatan nombor satu parti itu, Jun lalu.

“Maka, Umno akan terus bergerak dengan keadaan yang tidak mengikut arus perubahan dan idea-idea baru sudah tidak ada lagi dalam Umno,” ujarnya.

Sehubungan itu, Abbas menyeru golongan muda menyertai PH agar tidak terus dinafikan suara dalam Umno.

“Sudah sampai masanya orang muda pula meninggalkan Umno-BN dan bersama PH demi masa depan negara yang lebih gemilang,” tambahnya lagi.