“Bukan sesetengah, semua barang naik harga” – cemuh netizen pada Najib

Status yang dimuat naik di laman facebook Najib semalam berkaitan harga barangan naik di link menerusi web rasminya dicemuh netizen.

 

Tidak sampai tempoh 24 jam, majoriti reaksi awam di laman Facebook rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan kos sara hidup dihujani cemuhan pengguna media sosial termasuk masyarakat bukan Melayu dan golongan wanita.

“Saya perlu menerangkan punca sebenarnya mengapa setengah harga barang dan perkhidmatan naik,” dipetik daripada kata Najib di Facebook semalam pada pukul 3.22 petang sebelum menerima lebih 2,000 komentar setakat pagi Sabtu ini.

Kenyataan tersebut yang turut disertakan pautan kepada laman web Presiden Umno itu bagaimanapun mengundang reaksi tidak puas hati rakyat terhadap realiti sebenar kenaikan mendadak kos sara hidup bagi semua barangan dan perkhidmatan.

Pengguna Facebook, Reno Koh meninggalkan persoalan ringkas, “Sesetengah?” sama seperti James Ling En Yie menulis, “Sesetengah sahaja?” manakala Brian Wong membetulkan tanggapan Najib itu, “Bukan sesetengah semua barang naik harga.”

Bagi JG Lim pula beliau menganggap Najib tidak perlu memberi penjelasan ketika harga barangan telah sedia meningkat ekoran pelbagai tindakan kerajaan menaikkan kadar tol selain pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), “Apa guna terang, memang sudah naik pun.”

Ringkas tetapi jelas bernada sindiran, Iggy Lewis menganggap, “Sebab takde sebab” manakala komen Simon Teoh dilihat lagi ‘pedas’, “Dia (Najib) yang menyebabkan semua (kos hidup naik) ni.”

Membaca hujah tidak matang Najib dalam penjelasannya, Toby Tan menyifatkan, “Macam essay budak-budak menulis” dan bagi Lim Wun Pin, paling penting dilakukan sekarang ekoran kenaikan kos sara hidup, “Naikkn gaji kita jugalah!”

Tidak kurang juga ulasan netizen yang mengaitkan tindakan pentadbiran Najib membeli sebuah lagi jet peribadi kerajaan seperti disahkan Jabatan Perdana Menteri, Mac lalu ketika kerajaan telah pun mempunyai enam jet peribadi.

“Kalau harga barang naik. Kenapa nak beli dan naik private plane?” bidas Anson Chiah.

Sementara itu, Raveen Raj memberitahu Najib, “Kebanyakan tekanan bagi penduduk KL dan Selangor. Minta kerajaan beri pertimbangan hal ini.”

Ramai wanita muda tolak Najib

Tanggapan kononnya golongan wanita sebagai segmen pengundi merupakan penyokong setia kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN)  khususnya Najib dilihat mulai terhakis berdasarkan deretan komentar yang turut datang daripada kelompok kaum wanita berusia muda.

Mengaitkan antara ayat Najib dalam status Facebook itu kononnya perlu ‘menerangkan’ punca kenaikan harga, Siti Nurul Ain berkata, “Terang-terang apa lagi. Terus malap hidupku dengan kos sara hidup yang tinggi.”

Sementara itu, ada juga netizen wanita yang menganggap Najib tidak perlu lagi memberi penjelasan ketika rakyat sudah sedia maklum dengan kenaikan berganda kos barang dan pekhidmatan seperti ditegaskan Sanisah Said Anis, “Tak payah, dah terang sangat!”

Sikap boros membeli-belah dengan belanja tidak munasabah yang umum diketahui rakyat Malaysia menjadi identiti isteri Najib iaitu Rosmah Mansor turut diperkatakan netizen Hawa.

“Sebab kuat shopping,“ perli Finn Afina manakala Atikah El Khairuddin secara terus-terang memberi komentar, “Nak bagi bikmama (Rosmah Mansor) duit shoppinglah.”

Reaksi sinikal seterusnya juga dapat dilihat pada komentar Siti Zulaikha Abdullah, “Saya pun nak terangkan kepada cik jib semua rakyat tak percaya dengan kepimpinan cik jib lagi.”

Pada masa sama, masih ada netizen yang meluahkan hakikat sebenar bebanan ditanggung rakyat terutama mereka yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk kegunaan seharian.

“Kesian pelajar universiti yang guna tren. Kesian pekerja yang berulang-alik dengan tren. Semua (harga barang) naik,” ujar Sharifah Hashim.

TAGS