Malaysia Dateline

Bukan soal tahap penguasaan Bahasa Inggeris tapi kekurangan guru

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak bersetuju dengan arahan guru yang mengajar Bahasa Inggeris menduduki peperiksaaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

Setiausaha Agungnya Harry Tan Huat Hock berkata, masalah utama bukan tertumpu pada guru-guru opsyen Bahasa Inggeris tetapi masalah yang lebih serius iaitu kekurangan guru mata pelajaran itu.

“Pihak NUTP amat hairan dengan cadangan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris, Malaysia (ELTC) yang asyik menghendaki guru-guru opsyen Bahasa Inggeris menduduki peperiksaan sedangkan isu utama di sini adalah mengenai pedagogi dan metodologi,” tegasnya.

Contohnya, jelas beliau, terdapat kekurangan melebihi 500 guru opsyen Bahasa Inggeris di sekolah rendah di Kelantan manakala di sekolah menengah kekurangan lebih 200 guru.

“Di Batu Pahat, Johor pula kekurangan 300 guru di sekolah rendah dan 200 guru di sekolah menengah,” dedahnya dalam kenyataan hari ini.

Huat Hock berkata, guru-guru berkenaan diminta menduduki peperiksaan MUET sedangkan mereka turut mempunyai kelayakan mengajar bahasa Inggeris dan telah mengikuti pelbagai latihan termasuk ‘Cambridge Placement Test’ dan ‘APTIS-Assess English Skills’ yang dikelolakan British Council.

Sehubungan itu, pihaknya merayu campur tangan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan memperbetulkan keadaan yang disifatkan semakin menekan dan membebankan guru-guru Bahasa Inggeris dalam negara.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin melalui pekeliling pada 14 April lalu mengarahkan supaya guru yang mengajar Bahasa Inggeris menduduki peperiksaaan MUET.

Tujuannya bagi melihat semula tahap penguasaan bahasa Inggeris yang selari dengan keperluan termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. –