Pelakon, Abby Abadi kembali mencuri tumpuan ramai baru-baru ini selepas membuat pengakuan bahawa tiada istilah ‘menantu’ di dalam kamus kehidupannya.
Bukan tidak menerima ketentuan dari Ilahi, Abby bagaimanapun masih menanti bukti kesahihan pernikahan anaknya, Marissa Dania yang didakwa berlaku di Thailand itu.
Jelas Abby, tidak semua pernikahan yang berlaku di selatan Thailand itu diiktirafkan sah mengikut undang-undang Malaysia malah ia juga terjadi tanpa pengetahuannya.
Oleh yang demikian, pemilik nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan itu beranggapan dirinya belum mempunyai menantu selagi status pernikahan Marissa tidak disahkan.
“Sebenarnya, untuk situasi itu saya tidak nampak. Saya belum letak lagi diri ini sudah bermenantu. Tiada lagi menantu di dalam kamus kehidupan saya. Belum ada lagi.
“Benda (pernikahan) itu saya tak nampak, tiada di depan mata saya. Jadi buat apa saya beria-ria (anggap Aslam menantu). Malah ia berlaku di luar pengetahuan saya.
“Benda itu juga tidak dapat disahkan lagi malah belum di daftar. Bukanlah saya tidak menerima takdir atau kenyataan. Tetapi ia belum jelas,” kata pelakon berusia 47 tahun itu.
Perkara tersebut diakui oleh bekas anggota kumpulan nyanyian Elite itu dalam sesi audio siar atau podcast GVV Studio yang dikendalikan Datin Rebecca Nur Al Islam.
Abby Abadi bagaimanapun bersedia menerima ketentuan bahawa Marissa sudahpun bergelar isteri jika pernikahannya bersama Ahmad Aslam diiktiraf undang-undang.
“Mereka perlu selesaikan dahulu (pendaftaran perkahwinan di Malaysia). Bagi sahih dahulu. Berikan bukti yang jelas sekiranya mereka betul-betul menikah secara sah.
“Sekiranya mereka boleh melalui kehidupan (bermadu) itu sebaiknya mengapa tidak (saya menerima). Kalaulah (pernikahan itu) sah, jadi saya reda sebagai seorang ibu.
“Apa yang mereka perlu buat selepas ini, saya harap teruslah berpegang kepada tali Allah (agama Islam). Jangan sampai lupakan mak ayah.” Rayu Abby kepada anaknya.
Terdahulu, kisah percintaan antara Marissa dan Aslam didedahkan pada September tahun lalu oleh isteri pertama lelaki berkenaan iaitu Misya menerusi laman aplikasi X.
Dakwa Misya, hubungan sulit tersebut telah menyebabkan rumah tangganya dengan Aslam hancur sehingga mereka bercerai sebelum rujuk semula dalam tempoh eddah.
Kemudian timbul pula dakwaan bahawa Aslam dan Marissa telah berkahwin secara rahsia di Thailand pada Disember tahun lalu ketika Misya menunaikan umrah.
Baca juga: Pernah terima bayaran RM80k untuk satu persembahan, Mawi kini fokus jadi penyampai radio