Bukan tarik balik peruntukan Adun tapi beku sebagai denda

Bukan tarik balik peruntukan Adun tapi beku sebagai denda

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak menarik balik pembayaran geran suku tahunan khas berjumlah RM50,000 kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang tidak hadir ke majlis angkat sumpah gabenor 29 April lalu.

Sebaliknya mereka perlu memohon melalui pejabat Ketua Menteri sebagai denda dan peringatan agar tidak mengambil mudah berkaitan majlis yang penting bagi sesebuah negeri.

Menurut Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Zaidi Ahmad, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Guan Eng sendiri berhubung perkara itu.

“Pada hari berkenaan telah berlangsung satu majlis rasmi yang amat penting bagi negeri Pulau Pinang iaitu Istiadat Mengangkat Sumpah Pelantikan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. Sudah tentu dalam majlis penting seumpama ini kehadiran anggota-anggota pentadbiran kerajaan negeri terutama Adun-adun adalah amat penting lebih-lebih lagi Adun dari kalangan parti pemerintah.

“Namun amat dikesalkan sekali beberapa orang Adun termasuk Adun Penanti telah tidak menghadirkan diri. Sebagai satu denda dan peringatan kepada Adun-adun ini kerajaan negeri telah membuat keputusan bahawa sebahagian dari peruntukan kepada kawasan mereka (geran RM50,000 untuk suku ketiga sahaja; geran RM300 ribu tidak terjejas) tidak disalurkan terus kepada mereka sebaliknya mereka perlu memohon melalui pejabat Ketua Menteri.

“Jadi peruntukan (sebahagian) bukan ditarik balik tetapi cuma perlu memohon melalui pejabat Ketua Menteri sebagai satu denda dan peringatan. Adun yang terlibat pula bukan YB Norlela seorang dan bukan dari parti PKR sahaja,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Penjelasan itu ekoran dakwaan Adun Penanti dari PKR, Dr Norlela Ariffin bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang membekukan peruntukan untuk kawasannya sehingga September ini selepas beliau tidak hadir istiadat mengangkat sumpah pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada 29 April lalu.

Norlela berkata keputusan itu dimaklumkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Negeri pada 12 Mei lalu yang dipengerusikan Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman.

Beliau berkata, beliau bukan sengaja untuk tidak hadir sebaliknya mengikut arahan pimpinan parti supaya Adun PKR negeri hadir pada Konvensyen PKR yang kebetulan berlangsung pada tarikh yang sama dengan majlis istiadat itu.

Timbalan Ketua Menteri I Mohd Rashid Hasnon berkata keputusan membekukan geran suku ketiga tahun ini diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Beliau berkata mereka yang memberikan penjelasan sewajarnya akan menerima peruntukan itu selepas dipertimbangkan pejabat ketua menteri.

Beliau menjelaskan geran RM200,000 setahun untuk setiap Adun dibayar dalam 4 fasa setiap 3 bulan.

Rashid berkata peruntukan lain seperti RM300,000 untuk setiap Adun tidak terjejas.

“Dua suku pertama sudah dibayar kepada mereka yang tidak hadir. Hanya suku ketiga yang kita katakan sekarang ini,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)