Debat tentang Hang Tuah kembali, mungkinkah nama sebenarnya “Tuha” atau “Toh”

Debat tentang Hang Tuah kembali, mungkinkah nama sebenarnya “Tuha” atau “Toh”

Perbincangan Meja Bulat Kedudukan Hang Tuah dalam Sejarah Tamadun Melayu di ibu negara semalam hangat dengan perdebatan kewujudan nama Laksamana Melaka yang dipercayai hidup pada kurun ke-15 itu.

Ahli sejarah Prof Emeritus Dr Ahmat Adam berkata, berlaku kesalahan membaca dan merumikan ejaan jawi bagi “ta waw ha” yang dimulakan hampir semua pengkaji Eropah terhadap manuskrip “Sejarah Melayu” dan “Hikayat Hang Tuah”.

Beliau dalam perbincangan ilmiah yang dipengerusikan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid selaku Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Karyawan itu berkata, ejaan rumi yang betul adalah ” tuha” iaitu bermaksud pemimpin ampuh atau “toh” yang bererti harapan raja dalam pertempuran.

“Kedua-dua kata ‘tuha’ dan ‘toh’ dapat dianggap bersifat generik lantaran ia boleh dijadikan gelar untuk Laksamana yang benar-benar wujud kerana makna yang tersirat dalam istilah-istilah tersebut boleh dikaitkan dengan sesiapa pun orang yang mempunyai kualiti pemimpin unggul.

“Sementara itu, perkataan ‘Hang’ yang dipakai pada pangkal nama orang tertentu adalah istilah Melayu Kuno yang membawa erti orang yang dihormati atau seseorang juru (tukang),” jelasnya dalam program anjuran bersama Persatuan Sejarah Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.

Bahkan, ujar beliau, nama Tuha itu pun sebenarnya hanyalah satu nama gelaran sahaja memandangkan wujudnya adat pantang larang untuk menyebut nama pembesar.

“Mitos Laksamana Hang Tuha dengan petualangnya pun hanyalah sebuah kisah mitos yang telah dicipta oleh pengarang Sejarah Melayu dengan tujuan untuk menyembunyikan nama sebenar hulubalang yang berjawatan Laksamana,” tegas Dr Ahmat lagi.

Prof Emeritus Dr Hashim Musa ketika menyampaikan penerangannya.Mengulas dakwaan Prof Emeritus Dr Hashim Musa dan Dr Rohaidah Kamaruddin bahawa Laksamana Hang Tuah itu wujud berdasarkan surat tulisan tokoh tersebut kepada Maharaja Ryukyu di Jepun pada kurun ke-15, beliau berkata, penemuan surat dalam dokumen rasmi Rekidai Hoan itu bukanlah perkara yang baharu.

“Sebetulnya, kewujudan surat bertarikh 11 April 1480 itu sudah pun diketahui sejak awal lagi kerana Prof Hsu-Yun Tsiao telah pun menyebutkannya dalam makalah yang dibentangkan dalam International Conference on Asian History, anjuran Jabatan Sejarah, Universiti Malaya pada tahun 1968.

“Pada tahun 1969 pula surat-surat dari Melaka dan penguasa Asia Tenggara lain pun telah diterbitkan oleh Kobata & Matsuda. Jadi apakah yang baru?” bidasnya lagi.

Dokumen Jepun, Portugis jadi bukti

Terdahulu, Hashim Musa menerangkan kata ‘tuah’ atau ‘tuwha’ yang terdapat dalam kamus bahasa Maori keluarga Melayu-Polinesia wujud sejak 2,000 tahun lalu manakala kata ‘petuwah’ muncul dalam manuskrip Rencong sebelum wujudnya skrip Jawi dalam masyarakat Rejang di Sumatera.

Menurut pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, dokumen rasmi Rekidai Hoan milik kerajaan Ryukyu serta penemuan sebilah keris berlok sembilan di perkarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu berdekatan Istana Shurji merupakan data primer dari Jepun tentang kewujudan Hang Tuah.

Selain itu, jelasnya, kewujudan Hang Tuah turut dibuktikan melalui data primer dari Portugis berdasarkan surat-surat Afonso Dalboquerque kepada King Dom Emmanuel (1495-1521) yang kemudiannya dikumpul dan diterbitkan pada tahun 1557.

“Pada halaman 89 dan 90 dokumen ‘The Commentaries of the Great’, Afonso Dalboquerque telah menyebut tentang Laksamana yang berada di Singapura selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis.

“Maka yang dimaksudkan Laksamana itu tidak lain daripada Hang Tuah. Ini amat munasabah kerana tidak mungkin Laksamana yang lain selepas Hang Tuah, iaitu Laksamana Khoja Hasan yang tentu lebih muda daripada 80 tahun jika dilantik pada zaman Sultan Mahmud Shah (1488-1511),” jelas Dr Hashim lagi.

Turut hadir dalam perbincangan akademik di PNB Hotel & Suites Perdana On The Park itu ialah Presiden Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

TAGS