Bukan untuk Ahli Parlimen, kerajaan rupanya sudah lulus peruntukan RM2.7 juta buat Muar

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan peruntukan RM2.7 juta untuk Parlimen Muar bagi pelaksanaan 60 projek atau program di antara Januari hingga awal bulan Jun.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, lapor Berita Harian.

Justeru itu, Fadillah menegaskan tidak timbul lagi isu Parlimen Muar tidak mendapat peruntukan atau ‘politik balas dendam untuk menekan pengundi’ seperti didakwa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selaku Ahli Parlimen kawasan tersebut.

“Peruntukan sebanyak RM2.7 juta bagi pelaksanaan meliputi 60 projek atau program itu termasuk sembilan projek naik taraf dan baik pulih masjid dengan kos RM741,000 serta 18 Projek Mesra Rakyat dengan kos RM800,000.

“Dengan dana sebanyak itu ia cukup membuktikan Kerajaan Perpaduan tidak pernah mengabaikan penduduk di mana-mana kawasan Parlimen, termasuk Parlimen Muar,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Fadillah turut memberitahu bahawa sebanyak RM30.39 juta peruntukan juga sudah diluluskan di bawah Projek Pembangunan Kerajaan Persekutuan Rolling Plan (RP4) Tahun 2024 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi kawasan Parlimen Muar.

Peruntukan ini membabitkan keseluruhan sembilan projek dengan lima daripadanya dalam peringkat pembinaan, satu projek pra-pelaksanaan, dua pasca pembinaan dan satu projek Penggantian Mesin Magnetic Resonance Imaging (MRI) di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di bawah peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Lima projek dalam perlaksanaan adalah pembinaan Youth Hub Muar di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Projek Meroboh dan Membina Semula Jeti Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Marin Johor di bawah peruntukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Penggantian Mesin Computed Tomography (CT Scan) Di Hospital Sultanah Fatimah (KKM).

“Dua lagi dalam perlaksanaan ialah di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu Medan Selera Jeti Pekan Panchor, Muar dan Medan Selera Asam Pedas Parit Jawa, Muar.” Jelasnya.

Selain itu, terdapat dua lagi projek dalam pasca pelaksanaan iaitu Pembinaan Tabika Orang Asli Kampung Orang Asli Bukit Panjang, Muar bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Penambakan Pemecah Ombak di Pengkalan Seri Menanti Laut, Muar di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Bukan itu sahaja, Pembinaan Baraj Sungai Muar – Fasa 1 Perkhidmatan Perunding di bawah peruntukan PETRA juga merupakan satu lagi projek yang berada di peringkat pra-pelaksanaan.

Kenyataan ini dikeluarkan Fadillah untuk mengulas dakwaan Syed Saddiq bahawa kawasannya masih belum menerima sebarang peruntukan walaupun sudah lapan bulan perkara tersebut dibincangkan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu dikatakan telah memenuhi semua prasyarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan tanpa membuang masa kerana memikirkan kepentingan rakyat di kawasannya.

Menurut Syed Saddiq, beliau sudah bertemu Fadillah sebanyak dua kali selain turut menghantar tiga surat dan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin tertinggi kerajaan di luar kerangka rasmi rundingan.

Bagaimanapun Fadillah pada bulan Mac lalu telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan sememangnya menyalurkan peruntukan untuk kawasan Parlimen Muar tetapi bukan peruntukan kepada Ahli Parlimen Muar.

Jelasnya, pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen belum dapat diputuskan kerana ketua pembangkang belum berjumpanya untuk mengadakan perbincangan lanjut.

Baca juga: Tinjauan KWSP: Ramai usia 60 tahun ke atas akan bekerja sampai sakit selepas pencen sebab ‘boros’