‘Bukan wang Ihsan’, kata Azmin

‘Bukan wang Ihsan’, kata  Azmin
(kiri) Datuk Seri Ahmad Yakob dan (kanan) Datuk Seri Mohamad Azmin Ali ketika hadir di Dewan Rakyat ketika pembentangan Belanjawan 2020 pada Jumaat lalu.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob bahawa bayaran royalti minyak kepada kerajaan negeri itu adalah wang ehsan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata pembayaran royalti minyak itu masih menggunakan kaedah pembayaran lama untuk membayar royalti minyak kepada kerajaan negeri yang menjadi pengeluar minyak.

 Menurutnya, kaedah pembayaran royalti minyak terbaharu membabitkan pemulangan nilai 20 peratus daripada keseluruhan hasil minyak negeri masih dalam perbincangan.

“(Mengenai kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob menafikan kerajaan terima wang ihsan, bukan royalti minyak). Itu saya tidak pasti dan kena semak balik.

“Sebab pembayaran (royalti minyak) 20 peratus masih dalam perbincangan.

“Kerajaan masih guna kaedah lama, tetapi tidak dikuasai atau diuruskan Kerajaan Persekutuan dan kita bayar terus kepada kerajaan negeri mengikut kaedah ditetapkan,” katanya di lobi Parlimen seperti dilaporkan MG hari ini .

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata bayaran royalti telah dibuat beberapa bulan lalu.

“Saya telah tandatangani pembayaran atas arahan Perdana Menteri dan saya telah semak dengan pejabat saya dan mereka kata pembayaran telah dibuat.

“Sebenarnya pembayaran (dijadual) dibuat pada Januari (2020) tetapi telah diawalkan ke bulan lepas.

“Jadi saya harap jangan beri kenyataan yang tidak benar dan tidak ikut fakta, harap mereka boleh semak dengan kerajaan Kelantan supaya boleh dapat kepastian,” katanya semalam